Di kawasan Masjid al-Aqsa, terdapat satu perigi yang dikenali sebagai perigi Waraqah. Terdapat banyak riwayat yang disebut berkaitan sejarah perigi ini. Salah satunya diriwayatkan daripada Saidina Abu Bakar bin Abi Maryam ra. daripada Atiyah bin Qais ra:

Bahawanya ada seorang lelaki daripada Bani Tamim’ telah datang ke sini dan ingin menimba air. Tiba-tiba baldinya terjatuh ke dalam perigi ini. Lalu dia ingin turun untuk mengambilnya semula. Ketika dia turun ke dalam, lelaki itu terjumpa satu pintu daripada pintu-pintu syurga. Lalu lelaki itu pun masuk ke dalamnya dan berjalan-jalan di dalamnya.”
Ketika melepasi sepohon pokok, lelaki itu telah mengambil sehelai daun dan meletakkan di telinga.  Kemudian, lelaki itu kembali semula ke lubang tadi dan memanjatnya semula sehingga dia keluar daripada syurga tersebut.
Lelaki itu terus berjumpa dengan penjaga Masjid al-Aqsa dan memanggilnya untuk melihat apa yang telah dilihatnya. Kejadian itu juga disaksikan oleh ramai manusia. Tapi setelah menuruni perigi tersebut, mereka langsung tidak menjumpai perigi seperti yang disebutkan lelaki Bani Tamim tadi.
Kisah ini akhirnya ditulis dan dihantar kepada Saidina Umar ra. yang berada di Madinah. Saidna Umar ra. mempercayai dan membenarkan kejadian tersebut berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,
Akan masuk seorang lelaki daripada umatku ke dalam syurga dalam keadaan berjalan di atas kedua kakinya sendiri (berjaga) dalam keadaan dia masih hidup.”
 Lantas surat itu dibalas oleh Saidina Umar ra. dengan berkata “Hendaklah kamu menilik dan memeriksa akan daun yang diambil lelaki tersebut . Jika daun itu kering dan berubah,maka ianya bukan dari syurga kerana syurga dan isinya tidak akan berubah, tidak kering dan akan sentiasa kekal hijau dan segar.
 Ternyata keadaan daun tersebut tidak berubah sehingga lelaki itu meninggal dunia. Akhirnya lelaki itu dikafankan bersama daun itu di atas dada mengikut wasiat yang telah ditinggalkannya. Wallahualam.
Kisah ini aku petik dari buku Menjejaki Kisah Dalam Al-Quran dan Hadith di Baitul Maqdis oleh Ala’uddin Tuaimah.