Bukan Sekadar Cakar Ayam
Hanya ingin meneruskan kehidupan yang kuchalana....

Pak Musa

Posted In: . By Hazwan

"Dah kahwin?" - tanya Pak Musa, si tukang rumah yang sudah lama berkelana di bumi Malaysia ini. Asalnya dari tanah Jawa, namun kesempitan hidup memaksa berhijrah 20 tahun yang lalu.

Aku menarik nafas dalam-dalam. "Belum,' - aku jawab seringkas yang boleh. Malas sebenarnya nak menjawab soalan macam ni. Penat.

Pak Musa melihat aku sambil tersenyum lalu bersandar di dinding dapur yang masih kotor dengan habuk-habuk simen. Dia membuka bicara

"Dalam dunia ni, ramai orang kejar harta wang ringgit, tapi itu bukannya harta. Cuba kita bersembang dengan orang lain, orang takkan tanya berapa banyak rumah kita ada, berapa banyak banyak tanah yang kita ada, berapa banyak duit dalam simpanan kita. Tapi yang orang tanya, dah kahwin ke belum? Anak berapa orang? Sebab apa, kerana tu adalah harta yang sebenarnya..."

"Kamu ni, rumah dah ada. Tapi satu je yang masih kurang. Sayang.."

Aku tersenyum. Ahh, aku bukannya taknak kahwin. Tapi setiap orang ada masalahnya yang tersendiri.

Tapi betul lah kata Pak Musa.

.......!

*****

May Allah ease everything.


Sambung Bacaan



Teringat waktu kecil-kecil dulu. Bila terjumpa duit syiling sepuluh sen kat mana-mana, hati gembira bukan kepalang. Kadang-kadang berebut dengan kawan-kawan, siapa yang nampak dulu dia yang punya. Bila duit syiling kotor dan berkarat, cuci duit syiling tu guna tumit kaki sampai berkilat. Kemudian baru simpan dalam tabung atau buat beli cekelat dekat kedai runcit.

Tapi itu dulu. Cuba tengok budak-budak sekarang. Tengok duit sepuluh sen tu macam nampak tak nampak je. Macam takda harga. Suruh kutip pun taknak. Kalau hari raya lagi teruk lebih-lebih lagi bila bukak sampul duit raya hanya ada sekeping not seringgit.

"Seringgit je?" - tak ada sensitiviti langsung budak-budak sekarang. Tapi bila fikir-fikir balik, duit sepuluh sen memang tak bernilai sangat. Dulu sepuluh sen boleh beli kuih sekeping atau keropok lekor sebatang.

Sekarang? Nak beli cekelat pun susah. Jauh betul kos hidup dulu dan sekarang. Agak-agaknya macam ni kot apa yang mak ayah kita fikir waktu kita masih kecil bila tengok anak-anak mulai tak pedulikan duit satu sen. Tapi apa nak buat, kos hidup makin tinggi tapi beza gaji dulu dan sekarang hanya sikit je perbezaannya.

 Ahhh, tiba-tiba pulak aku mengeluh kat blog ni. Hmm, agak-agak korang la, kalau si penerima derma 2.6 billion tu ternampak not seratus ringgit jatuh atas kaki dia, dia akan kutip ke tak eh?



Sambung Bacaan

Gandeng Air Batu

Posted In: . By Hazwan



Tadi aku berbual bersama nenek di kedainya di Seberang Takir. Sambil meninjau kawasan belakang kedai, aku ternampak kayu besar seakan kayu besbol tapi lebih besar dan berat.

Kukuh buatannya, menggunakan kayu cengal. Kata nenek, benda ini merupakan alat pemecah ais yang dibuat oleh arwah moyang aku dulu. Namanya "gandeng" air batu.

Kemudian nenek pun bercerita tentang kepayahan beliau dan arwah To'ki mengembangkan perniagaan.

Pada waktu tu, peti ais merupakan benda rare tapi permintaan terhadap ais agak tinggi memandangkan Seberang Takir merupakan kawasan nelayan dan ais diperlukan untuk diletakkan dalam kotak ikan.

Jadi, nenek dan arwah to'ki buat keputusan untuk membeli peti ais. Memandangkan harga peti ais sangat mahal iaitu dalam RM1500, mereka terpaksa membuat pinjaman MARA.

Nak buat pinjaman sangat rumit kerana memerlukan geran tanah sebagai cagaran. Akhirnya datuk saudara aku menolong dengan memberi pinjam geran tanahnya. Selepas pegawai MARA datang membuat lawatan ke kedai, pinjaman diluluskan sebanyak RM2000.

Dengan duit sebanyak tu, nenek aku membeli peti ais, barang keperluan kedai dan jugak basikal Raleigh. Basikal ini bertujuan untuk digunakan ketika menjual aiskrim santan. Pernah makan? Aku tak pernah. Mungkin macam cendol kot.

Agak payah pada awalnya kerana terikat dengan hutang MARA sebanyak RM200 sebulan. RM200 tu dikira banyak waktu tu. Air kopi harga baru 10 sen. Aiskrim 5 sen. Air limau sejuk yang diletakkan dalam peti ais pun 10 sen je sebotol.

Alhamdulillah, dengan disiplin menyimpan RM10 sehari, mereka berjaya menyetelkan hutang MARA dalam masa dua tahun, membesarkan sembilan orang anak dan juga pergi haji sebanyak dua kali.

Kedai nenek aku tu dibuka pada tahun 1954 dan masih beroperasi sehingga kini dibawah jagaan makcik aku.

Ahhh, panjang pulak aku menaip.
Sambung Bacaan

Apabila usia menjangkau usia 26 tahun,antara perkara yang aku tak suka adalah "kredit expired". Kenapa? Sebelum ni aku menggunakan pakej Celcom University of X atau UPax. Yang seronoknya pasal plan ni, kredit takkan expired sampai usia kita menjangkau umur 26 tahun.

Dan keseronokan itu telah berakhir pada Januari yang lepas. Selepas bosan dengan kredit asyik expired, selalu kena topup, akhirnya aku mula berfikir untuk menggunakan postpaid plan atau bahasa lainnya, guna bil.

Selepas beberapa bulan membuat survey pasal plan-plan yang ditawarkan pelbagai syarikat Telco, tiba-tiba semalam aku terbaca pasal plan terbaru Celcom yang sangat murah. RM38 setiap bulan dengan 3GB data tanpa kontrak. Terus aku pergi ke Celcom Centre di Kuantan pagi tadi.



Seperti apa yang anda dapat baca, plan murah ini menawarkan data 3GB dengan harga RM38. Dan jika data sudah habis, boleh tambah lagi dengan harga RM3 untuk 100MB, RM15/GB atau RM50/5GB. Jika data yang digunakan tidak habis, baki data boleh dibawa kebulan yang seterusnya dengan syarat bakinya haruslah 3GB kebawah.

Syarat lain, kalau anda masih menggunakan prepaid atau dari telco lain seperti Digi atau Maxis, boleh kekalkan nombor lama. Kalau sudah guna postpaid dari Celcom, kena ambik nombor baru.

Memandangkan promosi ini hanya untuk 6 bulan, aku cadangkan mereka yang berminat harus lah segera pergi ke Celcom Centre yang terdekat. Jangan lambat kerana selepas 6 bulan, pakej yang ditawarkan hanyalah 2GB dengan harga yang sama.

Untuk info, boleh pergi ke web CELCOM ini.

Terima kasih kepada makwe Celcom tadi yang sudi menjawab pelbagai pertanyaan aku. Peace.
Sambung Bacaan

Sambungan daripada entri sebelum ni. Takde plan pun nak sambung. Ok macam ni.

Selepas stel menulis entri pasal pontianak dan babi tu, aku membelek-belek timeline facebook untuk melihat perkembangan semasa. Betul sekarang berita lebih pantas di facebook daripada di suratkhabar. Tapi perlu hati-hati, sebab lebih ramai yang kaki kencing di facebook ni.

Kemudian, aku ternampak salah seorang rakan berkongsi satu video tentang interview seorang ustaz bersama jin. Dan akhirnya, jin itu membocorkan rahsia tentang rancangan Iblis yang dalam persiapan untuk menyambut kedatangan Dajjal. Dia jugak ada sebut pasal Iluminati. Seram siot.

Boleh klik link INI kalau nak tengok.

Kemudian, aku dapat satu Whatsapp dari seorang kawan sekerja, Zack. Dia mintak tolong ambilkan dia kat Terminal Sentral Kuantan dekat Indera Mahkota. Berat hati sebenarnya nak keluar sebab dah mula rasa seram bila tengok video tu. Tapi kawan punya pasal, aku pergi lah ambik. Waktu tu dah pukul 2.30 pagi.

Laju betul aku bawak waktu tu. Sampai di Terminal Sentral, kawan aku ni terus masuk kedalam kereta. Waktu tu aku dah pasang ayat Quran siap-siap dalam kereta. Apa lagi, memang gelak lah dia.

Dalam perjalanan menghantar dia pulang di Balok Baru, tiba-tiba perut rasa lapar.

"Nak makan tak? Aku lapar lah." - aku tanya.

"Boleh jugak. Jom.."

Aku singgah di Afiz Corner. Waktu tu ramai jugak orang sebab ada game Champions League antara Atletico Madrid dan Real Madrid. Lepas order maggi goreng bersama teh o limau panas, tiba-tiba ternampak seorang kawan bersama hosmet beliau. Aku pun ajak lah duduk sekali.

"Tak kerja ke esok?" - Zack tanya

"Kerja. Aku kerja pukul 8 pagi esok.."

"Dahtu, rajin pulak tengok bola awal pagi ni.."

Akhirnya, terbongkar satu cerita. Kawan aku yang baru sampai ni sebenarnya dari bandar. Bila sampai kat rumah sewa yang berdekatan kubur Sg Karang Darat tu, tiba-tiba alarm kereta jiran rumah berbunyi. Mengikut katanya, alarm tu berbunyi kerana ada sesuatu dalam kereta. Dan salah seorang daripada mereka pun nampak benda tu.

Ni bukan kes pertama. Sebelum kawan aku dan hosmet dia pun pernah kena ganggu. Yang terbaru yang aku ingat, ada kelibat lelaki tua duduk keseorangan di luar kawasan kubur. Pehh seram. Dah lah aku selalu jugak lalu jalan tu.


Sambung Bacaan

Kat tempat kerja, aku ada seorang kawan. Agak rapat. Dia ni spesis rare sikit. Selalu terlibat dengan kejadian-kejadian mistik tanpa kerelaan diri. Hari tu dia cerita satu perkara yang agak menyeramkan.

Macam ni. Antara rumah aku ke tempat kerja iaitu di Gebeng, aku harus melalui jalan yang dipanggil Jalan Bypass Kuantan. Jalan ini merupakan jalan pintas untuk mengelakkan kesesakan di Balok yang kini menjadi laluan utama ke Gebeng.

Sebelum sampai ke jalan Gebeng, akan ada satu flyover yang akan menghubungkan pengguna jalan untuk ke Tol Jabor. Cerita kawan aku ni, waktu tu hujan renyai-renyai. Seperti biasa selepas habis syif petang iaitu pukul 11 malam, dia akan bergerak pulang ke rumah dengan melalui jalan Bypass ni.

Memandangkan waktu tu hujan, kawan aku ni terpaksa memperlahankan kelajuan motorsikal yang dia bawa. Sampai bawah flyover, dia rasa lain macam. Kepalanya seakan dipaksa untuk menoleh kearah kanan.

Akhirnya dia menoleh. Berderau darah dia bila melihat seorang perempuan berambut panjang berbaju putih sedang berdiri ditepi jalan bersama anaknya. Kawan aku pun memecut motor laju-laju untuk pulang kerumah. Hasilnya, dia demam selama seminggu. Demam terkejut mungkin.

Tambahnya lagi, ada dua tiga orang lagi staff tempat aku kerja yang dah jumpa pontianak tu.

Pehh, berdebar jugak hati sebab tu la jalan yang aku selalu guna untuk pergi kerja ketika siang atau pun malam. Setiap kali lalu jalan tu, aku memang bawak laju-laju.

******

Habis waktu kerja tadi, pukul 11 malam, aku bergerak ke locker room untuk menyimpan PPE. Tiba-tiba sorang lagi kawan lain datang menegur. Dia pun selalu menggunakan jalan yang sama pada waktu malam dengan menggunakan motorsikal.

"Weh, dah dua malam aku jumpa Shikin kat jalan Bypass tu. Risau jugak aku ni" - kata kawan aku ni. Tengok muka dia je aku dah rasa lain macam.

"Shikin? Shikin mana ni?" - aku terbayangkan Shikin tu adalah nama samaran bagi pontianak kat jalan Bypass tu.

"Alaaa, Shikin laa.."

"Yela, Shikin mana?"

"Shikinzir.."

"Babiiiii!! Kahkahkah.."- bodoh member aku ni sorang. Aku dah berdebar dah tadi. Kahkahkah.

Tapi memang betul pun. Babi makin banyak atas jalan sekarang kerana habitat babi sekarang dah dikacau oleh manusia-manusia yang perangai teruk macam babi. Bukit-bukit dah digondol. Naik motor waktu malam pun risau.

Okey, sekian.
Sambung Bacaan


Maaf pasal tajuk. Saje, takde idea. Sekarang aku nak menulis ala-aa Mahathir sekejap.

1. Selesai menonton filem Unbroken di ECM, aku rasa masih belum puas. Ditambah lagi jalan cerita yang tanpa unsur saspens dan klimaks, seperti sedang membaca buku sejarah, aku rasa kurang puas. Tapi aku akui, cerita ini banyak pengajarannya. Jadi memandangkan Stadium Darul Makmur terletak berhampiran ECM, aku buat keputusan untuk menonton perlawanan Liga Super antara Pahang dan Selangor. Mungkin kepuasan yang dicari ada disitu.

2. Ingatkan tiket dah habis kerana orang Pahang ni boleh tahan jugak fanatiknya. Tapi rupanya aku silap. Mungkin orang Pahang anggap Selangor ni pasukan biasa-biasa sahaja, 5 tahun miskin tanpa piala walaupun kaya dengan sejarah piala diorang yang entah pape. Mungkin dah biasa lepak dengan penyokong Pahang, kali ni aku memilih untuk duduk penyokong Selangor, dibelakang UltraSel.

3. Aku bukan keseorangan. Aku ditemani seorang rakan sekerja dan tiga orang rakan daripada Kerteh yang jauh datang untuk tengok bola walaupun sorang sahaja yang berasal dari Selangor. Sorang lagi kawan aku asalnya Pahang tapi tidak pernah menyokong Pahang kerana dia merupakan penyokong sejati Manchester United. Ini mungkin kes terpencil saja kot.

4. Sampai ditempat duduk, UltraSel dah mula menyanyi manakala Elephant Army masih berdiam diri bagi menghormati kehilangan Tuan Guru Nik Aziz dan juga Dato’ Hasbullah Awang. Aku pun turut menyanyi bersama sehinggalah sorang kawan aku ni sound,

“Weh, kau bukan orang Selangor pon..”

“Mana ada, aku orang Selangor kot. Tinggal kat Shah Alangg..” – saja aku jawab dengan pekat loghat Terengganu.

Tiba-tiba beberapa orang brader pusing tengok aku. “Aiii bro, lain macam je bunyi ‘Shah Alam’ tu? – salah sorang bertanya. Dan diakhiri dengan gelak beramai-ramai kahkahkah.

5. Pasukan Selangor ni bukanlah asing bagi aku. Sejak kecik lagi aku sudah terbiasa menonton perlawanan membabitkan Selangor kerana pasukan ini merupakan anak emas siaran televisyen. Kalau nak tunggu ‘live’ daripada pasukan Terengganu, memang jarang sekali baru dapat. Sebab tu kot masa kecik-kecik dulu aku lebih kenal player Selangor daripada player Terengganu sendiri.

6. Menonton aksi Selangor kali ni, aku anggap biasa-biasa sahaja. Selangor lebih mengharapkan Andik Vermanshah untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Selangor. Kalau tiada Andik, mungkin Selangor hanya mampu makan angin dikawasan tengah padang. Hadi Yahya pulak agak slow. Dah tak sama macam aksi beliau ketika menjulang Kasut Emas Liga Super 2011. Namun defender import Selangor berjaya mempamerkan aksi terpuji dengan berjaya mengawal Dickson Nwakeme dengan baik.

7. Pahang pulak bagi aku melakukan kesilapan besar dengan mengekalkan pemain-pemain tahun lepas. Barisan tengah yang dikemudi oleh Hafiz Kamal dan Azidan boleh lah dikatakan sebagai gagal. Mungkin kesan daripada kehilangan Gary Steven Robbat dan Faizol Hussein yang dicuri secara professional oleh pasukan paling professional dalam Malaysia memberi kesan yang mendalam kepada pasukan Pahang. Namun aksi pemain jersi 33 tu agak menarik.

8. Kesimpulannya, blog bolosepok.com mungkin akan lingkup awal tahun ni kahkahkah

9. Aku tergelak bila mendengar chant dari UltraSel, “Apa kata dunia, Malaysia tanpa Selangor…” Wakaka

10. Akhir kata, Sate Kambing dekat Restoran Sate Zul depan stadium tu memang sedap. Kena cuba!
Sambung Bacaan

Aku duduk berdua bersama seorang housemate di sebuah kedai. Sebagai generasi Y yang ori, kami hanya membelek-belek smartphone selepas selesai melantak makanan yang diorder tadi. Tidak banyak cakap.

Tiba-tiba hujan turun. Memandangkan kami berdua duduk dikawasan yang tiada bumbung, nak atau taknak terpaksa jugak beralih ke meja yang lain. Tapi susah, sebab hujan terlalu kuat dan banyak kawasan berbumbung disirami air hujan.

Namun kami perasan ada satu meja yang diduduki oleh dua orang lelaki. Tanpa segan, kami mintak izin untuk duduk bersama. Daripada paras rupa, nampak macam warga Indon.

"Bang, kerja kat sini ke? - tanya housemate aku, Maniam. Maniam ni nama timangan je sebab kulit dia gelap. Dia ada nama betul, tapi malas nak tulis.

"Ha aa. Kerja kat sini. Ada projek buat rumah kat belakang sana.." - balas salah seorang brader tu dengan nada seperti pelakon sinetron. Kemudian, aku hanya mendengar si Maniam ni bersembang dengan dua orang brader Indon ni. Lama jugak diorang bersembang.

Kemudian aku bertanya. "Asal dari mana bang?"

"Saya dari Lombok. Kawan saya ini asalnya dari Jawa.." - balas brader yang paling tua. Menurut cerita nya tadi, dia dah menetap di Malaysia lebih daripada 10 tahun.

Lombok? Aku agak tertarik dengan perkataan Lombok ni.

"Bang, nak tanya. Kenapa rakyat Malaysia suka sangat ikut lelaki Lombok? Ada guna ilmu apa-apa kah?" - aku tanya straight to the point.

"Eh, tak ada lah. Mana ada guna apa-apa ilmu.." - jawab brader tu sambil ketawa kecil.

"Eh, betul ke? Tak percayalah..."

"Betul, takde guna ilmu hahaha. Cuma macam ini. Pertamanya, kamu hendaklah selalu berlaku jujur lebih daripada tiga kali dengan perempuan. Lepas tiga kali, dia akan mula percaya dengan kamu. Keduanya, bila kamu berjanji kamu harus tepati. Jangan menipu sama perempuan. Ketiga. kamu kena berserah kepada tuhan.."

"Ouh. Hahaha.." - aku tergelak dengar penjelasan brader tu.

Jadi kesimpulannya, perempuan Melayu Malaysia ni harus ditawan hati mereka dengan kejujuran. Tapi aku rasa semua perempuan macam tu.

Hmm

 ***** 

Kesimpulan lain, aku tak percaya orang Lombok ni tak guna ilmu lain. Tak percayaaaaa
Sambung Bacaan

Semalam, aku diberi kesempatan untuk mengikuti kursus pengurusan jenazah di Balok. Mengikut apa yang diberitahu kawan aku, kursus akan bermula pukul 8.30 pagi. Memandangkan aku baru habis kerja, aku sampai lewat sikit dalam pukul 9.

Selepas berpusing beberapa kali, akhirnya aku temui jugak lokasi kursus ini. Padahal baru je nak give up mencari lokasi kursus ni.

Bila sampai, aku tengok peserta tak ramai. Kursus pun belum bermula. Jadi aku duduk bersebelahan seorang pakcik yang berumur kira-kira 60 tahun. Banyak perkara yang kami sembang. Dan aku sangat kagum dengan pakcik ni. Setiap perkataan yang dilontarkan daripada mulutnya penuh berhikmah dan nasihat.

Akhirnya dia bertanya,

"Hazwan ni, apa status nya? Dah kahwin ke masih bujang?"

"Err, belum lagi. Rezeki belum ada pakcik.." - aku balas.

"Hmm, rezeki tu ada.." - jawab pakcik tu.

Aku diam, rasa malu pun ada, Aku merenung pakcik tu menunggu penjelasan.

"Dulu masa Hazwan sekolah, mak ada masak nasi tak waktu tengah hari?"

"Ada pakcik," - balas aku sambil ketawa kecil.

"Masa Hazwan sekolah, mak dah masak nasi awal-awal kan? Jadi bila balik sekolah nasi tu memang dah masak. Jadi terpulang pada Hazwan untuk makan atau tak kerana nasi tu memang dah ada kat dapur. Betul?"

"Ha'a betul.."

"Sama jugak macam rezeki, jodoh. Semuanya sudah tertulis, sudah ada, Tapi Kalau Hazwan balik sekolah terus masuk bilik, terus tidur, memang tak dapat la makan nasi.."

Aku tersenyum, tak tahu nak jawab apa.Ada betul nya apa yang dia cakap.

Terima kasih pakcik Ishak, kerana menyedarkan aku dari lamunan.

****

Kemudian dia cerita sikit pasal anak perempuan dia yang belajar di UiTM. Aku dengar je lah.
Sambung Bacaan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...