Malam ni semua kerja yang aku buat tertangguh. Ini gara-gara deman Piala Malaysia yang menyerang peminat bola sepak tempatan. Tadi telah berlangsungnya perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara dua seteru utama dari Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan. Walaupun tidak menonton perlawanan secara langsung, namun dengan hanya mendengar ulasan dari radio telah membuatkan jantung aku berdegup kencang.

Sebelum perlawanan, semua sudah menjangka perlawanan kali ini pasti menjadi ‘panas’. Kerana sejarah menunjukkan pertembungan antara dua pasukan ini sering menimbulkan kontroversi, sama ada antara penyokong dan juga antara pemain. Yang masih aku ingat, pada tahun 1997. Dan jangkaan itu ternyata menjadi kenyataan. Lima layangan kad merah, tiga kepada Kelantan dan dua kepada Terengganu sudah cukup menunjukkan perlawanan sebentar tadi memang penuh dengan aksi kasar dan agresif.

Bagi aku, lambakan kad merah pada malam ini jelas menunjukkan bahawa pengadil di Malaysia masih kurang bermutu dan tidak pandai mengawal permainan. Mungkin pengadil sendiri gagal mengawal emosi sehingga mempengaruhi mutu permainan. Aku cakap mungkin kerana aku hanya mendengar ulasan dari radio, bukannya mendengar siaran langsung.

Perlawanan tadi diakhiri dengan kemenangan berpihak kepada Terengganu iaitu tiga gol berbalas satu. Gol-gol Terengganu dijaringkan oleh Ismail Faruqi, Abdul Manaf Mamat dan Marzuki Yusof. Manakala gol Kelantan dijaringkan oleh Badri Razi ataupun Piya. Manakala penerima kad merah adalah Ismail Faruqi dan Zubir Azmi, dua-dua dari Terengganu. Manakala Shakir Shaari, Daudsu Jamaludin dan Aziz Ismail penerima kad merah dari Kelantan. Dan ternyata Kelantan adalah Red Warrior sebenar kerana mengumpul kad merah terbanyak haha. 

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Muhammad IV dan pasti penyokong setia Red Warrior akan mengamuk bersama pemain mereka untuk meng’gomo’ pasukan Terengganu. Semoga perlawanan nanti tidak dicemari insiden seperti hari ini. Dan juga semoga pemain-pemain Terengganu dapat mengawal emosi ketika menerima asakan secara fizikal atau mental di sana. Peteh Tranung Peteh!

Keputusan Lain 
Selangor 3-1 Perak
Felda 1-0 N9
Sabah 1-2 T-Team