A Barefoot Dream merupakan satu cerita yang penuh emosi dan juga motivasi. Mengungkapkan satu kisah benar, yang menceritakan tentang keajaiban kanak-kanak Timor Leste yang berjaya memenangi pertandingan bola sepak kanak-kanak, Rivelino Cup 2004. Cerita ini seolah-olah cerita fantasi, yang menceritakan tentang harapan golongan miskin yang tidak mempunyai apa-apa tapi mampu keluar dari kepompong kemunduran untuk mengejutkan dunia.
Cerita bermula apabila kedatangan Kim Wong-Kwang, bekas pemain bola sepak Korea Selatan ke Timor Leste selepas kegagalan perniagaan di Kalimantan, Indonesia. Pada masa ini, Timor Leste mrupakan sebuah Negara yang miskin, masih berperang dan serba kekurangan. Di Timor Leste, Kim melihat ramai kanak-kanak yang gilakan bola sepak tapi bermain hanya berkaki ayam. Lalu timbul idea beliau untuk membuka satu kedai barangan sukan. Namun perniagaan nya tidak mendapat keuntungan kerana Timor Leste adalah sebuah negara yang miskin.
Jadi beliau membentuk satu pasukan bolasepak yang di barisi kanak-kanak serta menyediakan kelengkapan sukan kepada mereka dengan syarat mereka perlu membayar satu dollar setiap hari. Selepas melalui beberapa peristiwa, Kim mula berubah. Wang sekarang bukan segala-galanya buat beliau. Beliau mula menaruh harapan untuk menyatukan rakyat Timor Leste yang sering bermusuhan iaitu melalui sukan. Akhirnya, beliau berjaya membawa pasukan Timor Leste ke Rivelino Cup 2004, Hiroshima dan seterusnya menjadi johan dengan kemenangan yang sangat mengagumkan.


Bagi aku, cerita ini mampu memberi motivasi yang tinggi kepada penonton. Tua, antara pemain terkecil dalam pasukan yang tidak mengenal erti putus asa. Walaupun gagal untuk menempatkan diri dalam pasukan Timor Leste pada awalnya kerana terlalu pendek, namun usaha keras beliau berhasil apabila diterima oleh Kim untuk mewakili pasukan. Dan akhirnya, dia berjaya menjaringkan gol kemenangan buat Timor Leste dalam perlawanan akhir.
Antara watak penting dalam ni adalah Ramos dan Motavio, yang bermusuhan kerana masalah keluarga. Akhirnya kedua-duanya berbaik dan menjadi pemain penting dalam skuad Timor Leste. Antara babak yang paling menarik adalah ketika perlawanan antara Timor Leste dan Jepun. Semua rakyat Timor Leste  berkumpul beramai-ramai untuk mendengar siaran langsung melalui radio, tak kira sama ada di pasar, bawah pokok, dalam bas dan juga dalam kelas, semua orang mula bersatu. Dan akhirnya kemenangan Timor Leste di sambut oleh semua rakyat Timor Leste bagaikan pesta memenangi Piala Dunia.
Apa yang aku boleh cakap, cerita ini sarat dengan nilai-nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran. Walaupun permulaan cerita agak hambar, tapi kelemahan berjaya ditutup pada babak akhir yang sangat mengujakan. Terima kasih kepada Hadi yang menyarankan aku untuk menonton cerita ini. Terbaik!!

p/s: Menurut Google, Kim Wong-Kwang masih melatih pasukan Timor Leste sampai ke hari ini tanpa gaji dan menyara hidup dengan sumbangan daripada negara asalnya. 

DOWNLOAD DI SINI, SINI DAN SINI