Pagi ini aku mula merasai persamaan antara Kampung Duyung dengan Korea, iaitu pagi yang teramat sejuk! Walaupun matahari telah terbit, tapi ia belum mampu menghilangkan kesejukan dalam badan aku ni sehingga terketar-ketar. Angin dingin yang bertiup masuk dari tingkap benar-benar menyucuk tulang-temulang aku walaupun diselaputi lemak yang tak terlampau tebal.
Pagi semalam, selepas me-renew-kan roadtax motorsikal EX5 antik aku yang berekzos karat, aku mengambil angin di sepanjang Pantai Seberang Takir hinggalah ke Pantai Teluk Ketapang. Sambil memandang ombak yang bergulung ganas, aku cuba mengimbau memori lama dan memulas minyak motor perlahan-lahan.
Tiba di satu selekoh, aku terpandang satu kedai lama. Kalau tak silap aku nama kedai ni Kedai Che Ton. Time aku sekolah rendah dulu iaitu di SK Teluk Ketapang, Kedai Che Ton merupakan salah satu kedai runcit yang popular di dalam kalangan pelajar sekolah. Mana taknya, disinilah sumber utama budak-budak nakal membeli mercun.
Di sini jugalah kali pertama aku membeli mercun. Tapi mercun colok je lah, sebab mercuk bola dan ketupat agak mahal bagi aku pada masa tu. Teringat lagi, lepas beli cepat-cepat aku habiskan mercun tu sebab takut mak marah hehe.
Kat kedai ni jugak aku belajar untuk main tikam nombor. Pada masa tu, aku ni bukannya tahu apa-apa. Orang main, aku pun nak main. Caranya, pergi ke kedai tu dan beli paket-paket kertas kecil yang diletakkan pada satu kertas tebal dan pilih yang mana anda mahu(contohnya macam anda membli satu paket perencah tomyam Adabi yang terlekat di kertas tebal). Dan bukak kertas tu, kalau dapat duit, so dapat la modalnya balik termasuk untung. Kalau tak, jadi la macam aku yang rugi lima puluh sen kerana tak dapat apa-apa pun. Tu la kali pertama dan terakhir aku main benda haram tuh.
Ok, report dah siap. Sekarang tiba masa untuk print dan setelkan segala benda. Arghhh, rindu zaman kanak-kanak!