Kampung Duyung merupakan sebuah kampung yang terletak di pinggir bandar Kuala Terengganu. Dengan kedudukannya yang agak strategik, iaitu terletak di antara pusat Bandar dan lapangan terbang serta berhampiran kompleks sukan Gong Badak, Kampung Duyung dan kawasan sekitarnya mula mengalami arus pembangunan.
Namun, setiap yang berlaku pasti ada kebaikan dan keburukannya.  Sejak kebelakangan ini, kawasan kampung aku mula dipenuhi babi pada waktu malam. Kadang-kadang waktu siang pun ada. Kalau dulu aku tengok babi melalui tv je, sekarang dah boleh tengok secara live. Akhirnya, pokok-pokok ubi dan keladi yang ditanam ayah aku menjadi mangsa. Pernah jugak berlaku ada babi yang tidur di bawah rumah tapi itu rumah jiran aku la.
Biawak juga mula mengganas. Ketika aku pulang ke rumah tiga minggu lepas, kawasan rumah aku dicerobohi seekor biawak yang sangat besar dengan panjang menghampiri  1 meter setengah. Biawak merupakan haiwan pemakan telur ayam. Jadi untuk menyelamatkan zuriat ayam kepunyaan ayah aku, maka terpaksalah aku mengeluarkan simpanan mercun bola untuk menghalau biawak tersebut. Selepas di bom beberapa kali, akhirnya biawak itu melarikan diri.
Kalau dulu, di rumah aku cicak hanya dapat ditemui pada waktu malam. Tapi sekarang waktu siang cicak dah makin berani. Tapi ini bukan cicak rumah tapi cicak yang hidup di atas pokok besar. Sebab tu badannya agak besar dan agak menjijikkan. Hal ini berlaku selepas penebangan beberapa pokok besar di belakang rumah aku untuk member ruang kepada pembinaar sistem perparitan baru yang kini terbukti dapat mencegah daripada berlakunya banjir.
Kesan terhadap tumbuhan tidak kurang hebatnya. Kalau dulu setiap kali mak aku masak laksa, pasti aku akan disuruh untuk memetik pucuk daun jambu golok atau pucuk daun pokok gajus. Sekarang, batang pokok pun aku dah tak nampak. Nak makan dengan singgang cicah budu pun dah tak dapat.
Kesimpulannya, aku tak tau apa yang nak disimpulkan. Dan aku pun tak tahu kenapa buat entry macam ni. Oh tuhan!