PASIR MAS - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut, Repek dekat sini gempar apabila 35 helai sejadah yang berada di dalam surau sekolah berkenaan didapati berdiri.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu kelihatan seolah-olah lelaki dan wanita sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk antara dua sujud.

Sejadah-sejadah tersebut juga seperti sedang berjemaah dengan sehelai daripadanya seolah-olah menjadi imam dan diikuti dengan 15 helai di ruang sembahyang lelaki dan 19 helai lagi di ruang sembahyang wanita.

Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 10.55 pagi oleh seorang pelajar tahun dua, Nurul Huda Mat Jali, 8, yang sedang mengikuti kelas pemulihan bersama beberapa pelajar lain di pondok berhampiran surau berkenaan.

"Saya secara tidak sengaja ternampak sejadah seperti sedang bersembahyang melalui celah pintu. Saya beritahu kawan dan dia memaklumkan kepada guru," katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, guru terbabit, Adnan Abdullah, 37, berkata, dia terkejut apabila melihat sejadah-sejadah tersebut berada dalam keadaan berdiri dan seolah-olah menunaikan sembahyang secara berjemaah.

"Keadaan sejadah tersebut seperti berada dalam saf sembahyang, ada yang tinggi dan rendah seperti jemaah dewasa bersama jemaah kanak-kanak," ujarnya.


sumber:KOSMO

Sebelum ini, kes sebegini pernah terjadi di Masjid Kristal,Terengganu, Selangor dan beberapa tempat lagi. Di luar negara, ia pernah terjadi di Oman. Mungkin semua ini adalah petanda bahawa Allah SWT memberi amaran kepada manusia agar kembali kepadaNya. Bagi mereka yang melihat kejadian demi kejadian ini dengan mata hati, ikhtibar dapat diambil buat bekalan di akhir zaman ini. Namun, bagi manusia yang tidak dapat menerima kebenaran maka mereka akan menganggap itu semua adalah hukum alam. Kejadian sejadah berdiri yang semakin menjadi-jadi sekarang ini juga seolah-olah mahu mengajak kembali umat Islam supaya beriman dan menyembah Allah. Ramai umat Islam akhir zaman kini sudah lupa padaNya.