Selama 22 tahun aku hidup kat dunia ni, aku rasa ayam merupakan haiwan yang paling ajaib kat atas dunia. Keajaiban ayam ni aku rasa mampu melawan keajaiban pembinaan Piramid Giza ataupun Tembok Besar China. Maaf, entri ini tiada kaitan dengan tajuk blog ini. Selepas bertahun-tahun aku membuat permerhatian ke atas ayam-ayam kat rumah aku ni, aku telah menemui beberapa keajaiban ayam yang belum pernah ditemui oleh saintis sebelum ini.
Salah satunya, ayam merupakan haiwan yang sangat romantik dan bertanggungjawab kah3. Dulu ada seekor ayam betina abah aku mempunyai skandal dengan seekor ayam jantan yang liar. Entah dari mana ayam tu datang aku tak tahu. Setiap pagi, ayam jantan tu akan menanti ayam betina dilepaskan dari reban. Selepas dilepaskan, pasangan ini akan keluar mencari makan dan bermadu asmara sampai ke petang. Apabila dah sampai maghrib, ayam jantan ini akan menghantar ayam betina ini sampai ke pintu pagar rumah sebelum menghilangkan diri ke kawasan berhampiran. Amacam, romantik tak? Kesudahan cerita ayam ini aku tak dapat pastikan kerana aku bukan duduk lama sangat kat rumah.
Ayam jugak mempunyai deria meramal yang mengagumkan terutamanya dalam menentukan sama ada hujan yang turun akan berlarutan untuk masa yang lama atau tak. Kalau waktu hujan lebat ayam duduk melepak bawah rumah atau pun bawah bangsal, itu maknanya hujan tu turun tak lama. Kalau hujan akan berlarutan sampai ke petang atau beberapa hari, anda akan melihat ayam akan keluar mengais makanan dalam hujan. Kelakuan ayam ini merupakan penanda aras bagi orang terdahulu untuk meramal kemungkinan berlakunya banjir hehe.

Selain itu, ayam juga merupakan sejenis binantang yang faham bahasa manusia. Contohnya, sebelum ini ayam dirumah aku suka berak di kawasan lantai depan rumah yang bersimen. Selepas diugut secara lisan oleh abah aku iaitu akan menyembelih mana-mana ayam yang berak di situ, tahi-tahi ayam tidak lagi kelihatan diatas lantai simen. Satu contoh lain, abah aku pernah mengatakan ingin menyembelih ayam sambil menunjuk ke salah seekor ayam yang berada berhampiran. Selepas itu, ayam tu mula menjadi liar dan cuba lari jika nampak abah aku. Pengajaran daripada kisah ini, kalau nak sembelih ayam anda perlu merancang secara senyap-senyap.
Ayam juga mempunyai naluri semulajadi untuk membenci helang. Apabila melihat helang terbang, ayam-ayam ini akan cepat-cepat lari. Menurut cerita yang aku pernah baca, ayam dan helang dulunya pernah bergaduh kerana berebutkan sebatang jarum untuk menjahit sayap. Dan permusuhan ini belarutan sampai ke hari ini. Aku syak, ayam-ayam ini juga pernah membaca buku yang aku baca tu.
Selain tu, aku juga perasan yang kaki dan bulu ayam jantan sangat lah bersih jika dibandingkan dengan ayam betina. Aku pun musykil sebenarnya. Namun kemusykilan ini dijawab oleh abah aku. Menurut abah, ayam-ayam jantan ni pemalas sebenarnya. Diorang sangat malas dalam aktiviti mengais tanah untuk mencari makanan. Yang bijaknya, ayam jantan ini akan memperalatkan haiwan betina untuk mengais makanan untuk diorang. Ya, kerana cinta kaum betina memang mudah diperalatkan jantan.
Berdasarkan hujah yang aku berikan diatas, tidak syak lagi bahawa ayam merupakan haiwan paling ajaib di atas dunia. Panda yang bijak berkungfu pun tidak mampu melawan kejaiban ini. Kalau ada mana-mana pengkaji binatang yang cuba mencuri hasil kajian aku ni, anda akan disaman. Ini serius!
Tapi ada satu lagi keajaiban yang lagi best. Tahukah anda, antara waktu mustajab untuk berdoa adalah ketika ayam berkokok seperti sabda Nabi s.a.w.
“ Apabila kamu mendengar ayam berkokok, maka mohonlah anugerah-Nya kerana ayam itu melihat malaikat .” (HR al-Bukhari , Muslim )