Salam.

Selepas beberapa hari mengikuti perkembangan isu panas yang membabitkan seorang pemimpin PAS, aku tergerak hati untuk membaca tentang sejarah Mat Indera yang berkait-rapat dengan isu ini. Tapi aku hairan, waktu aku layan berita TV3 hari tu, rasanya tak ada pun disebutkan pasal Mat Indera. Yang ada hanyalah Bukit Kepong, Mat Sabu dan Komunis Tetapi selepas membelek-belek beberapa suratkhabar online dan blog, baru aku terjumpa nama ini.

Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin (gambar), ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British.

Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong 

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong.

Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera. 

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Komen aku:


  • Kisah Mat Sabu dan Mat Indera ni takkan jadi kontroversi kalau cerita sebenar tidak diputarbelitkan oleh sesetengah pihak. Dan semakin panas bila ada SESETENGAH penyokong kerajaan dan pembangkang yang membuat komen yang merapu di blog. Aku baca pun jadi pening. 
  • Bagi aku tidak perlu mengkritik perjuangan UMNO terdahulu, walaupun ada yang tak setuju dengan cara mereka tapi kita telah merdeka. Kan? Yang penting, betulkan beberapa fakta untuk mengiktiraf pejuang kebangsaan yang telah dipinggirkan selama ini. Lagi pun, Mat Indera sendiri diiktiraf oleh kerajaan Johor iaitu Yayasan Warisan Johor sebagai salah satu pejuang ternama di negeri itu.
  • Kisah Mat Indera ni menarik sebenarnya dan perlu dikaji bagi memberi kefahamamn kepada generasi kini tentang kisah pejuang zaman dahulu. Kalau bukan kerana kontroversi Mat Sabu, aku takkan kenal siapa Mat Indera ni.
  • Pasal komunis ni, ideologi komunis sudah jelas bertentangan dengan Islam. Menurut sesetengah pendapat, kita tak boleh sokong mereka walaupun mereka berjuang menentang penjajah. Matlamat tidak menghalalkan cara. Kan? Kalau aku salah sila betulkan.
  • Aku tak hidup dalam zaman ni, so tak boleh nak komen banyak-banyak.
  • Pengajaran yang aku dapat dalam cerita ini, sila rujuk di baris ayat yang aku telah highlight kat atas tu. Sekian. 


Sumber: Kelab Greenboc