Sebenarnya aku agak menyampah dengan drama melayu yang semakin kerap memaparkan cerita-cerita berunsur tahyul dan syirik. Antaranya termasuklah penggunaan bomoh atau dukun atau lebih tepat lagi penggunaan ilmu hitam dalam menganiayai manusia-manusia yang tidak disukai. Bagi aku, mana logik orang-orang zaman sekarang nak buat macam tu. Sebab dunia dah makin moden, kalau tak puas hati mungkin boleh guna cara yang lebih moden. Hack akaun facebook misalnya.

Tapi setiap kali pulang ke kampung, bersembang dengan keluarga, sanak-saudara, kawan-kawan, ada je cerita baru pasal benda-benda macam ni yang aku dengar. Kesian apabila melihat penderitaan mereka-mereka yang teraniaya secara halus ini. Ada yang tidak mampu berjalan, hilang pengelihatan, kedai disihir sampai tiada orang, dan macam-macam lagi lah. Yang teruk lagi, disantau pun ada. Ada yang sempat dipulihkan, yang dah meninggal pun ada.

Semua ni berlaku kepada orang-orang yang aku kenal. Orang yang aku tak kenal tu, mungkin lagi ramai. Yang aku masih ingat, budak satu batch dengan aku  semasa di MRSM disantau oleh kawan sendiri. Dan sudah pun meninggal. Anda boleh nampak disini, buidak-budak sekolah pun dah berani buat benda macam ni. Kalau yang tua tak tahu la nak cakap apa.

Memang, perkara ni jarang-jarang dapat didengar kerana ia hanyalah kes terpencil. Dan tak ramai yang terkena menghebohkannya kepada orang lain. Tapi aku perasan, perkara macam ni dah jadi makin serius dalam masyarakat.

Aku tak faham, kenapa masyarakat Islam di Malaysia ini masih tidak berubah. Masih terikut dengan amalan khurafat dan syirik zaman nenek moyang dulu. Apa yang diorang dapat dengan buat benda ni? Kepuasan ke? Gembira ke bila melihat penderitaan orang lain? Soalan ini hanya dapat dijawab oleh mereka yang terlibat dengan perkara menjijikkan di atas.

Jadi apa solutionnya? Kamu fikirlah sendiri. Aku malas nak berceramah, nanti orang cakap aku ni berlagak ustaz. Aku menulis hanya untuk meluahkan perasaan. Konklusinya, memang betul la apa yang dipaparkan dalam drama-drama melayu tu. Ke saloh?