Pukul 9 pagi, aku sampai ke lobi Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Kelihatan beberapa saudara-mara aku sudah sampai disana, berkumpul di tepi tiang dan berborak dengan mesra. Aku perhatikan keadaan di lobi, agak cantik. Terdapat sekumpulan lelaki baju merah. Aku cam siapa mereka. Mereka ni adalah pemain bolasepak Sarawak yang mengikat pasukan Penyu dalam saingan Liga Super semalam.

Aku pandang kawasan sekeliling lagi. Sejak lapangan terbang ini diubah suai, tak sampai lima kali pun aku masuk ke dalam ni. Kalau masuk pun sebab nak cucuk duit kat mesin ATM. Tapi tu dah lama. Sekarang aku boleh cucuk duit sama ada kat Pasaraya Sabasun ataupun kat stesen minyak Shell yang baru dibuka. Lagi dekat.

Tapi kali ni aku datang bukan nak cucuk duit tapi sebab nak menghantar nenek, dua ibu saudara dan juga kakak aku yang ingin mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Selepas bersalam dengan semua orang, aku sempat berborak-borak sambil mengambil gambar kenang-kenangan.

Tiba-tiba aku perasan ada seorang lelaki tercegat di belakang aku. Berpakaian seperti orang kampung biasa. Dia tersenyum, aku balas balik senyuman dan menghulurkan tangan.

“Kenal tak ni sape?”  tegur lelaki tu memulakan bicara.

“Err,rasanya tak kenal. Ni sape eh?” aku membalas dengan sedikit perasaan malu. Segan jugak rasanya bila orang mengaku kenal kita, tapi kita tak kenal pun orang tu.

“Saya Saiful. Saya biasa tengok awak sebelum ni. Tinggal kat mane yer?”

“Ouh, rumah saya kat Kampung Duyong,”

“Haa, dekat la rumah kita. Saya tinggal kat situ jugak. Kenal Pak Rashid?”

“Erm, rasanya tak..”  aku balas ringkas.

“Kenal Pak Ali?’’  Saiful ni bertanya lagi.

“Erm, tak kenal jugak. Saya ni jarang balik rumah. Dah la cuti tak lama. Kalau orang yang baru pindah kat kampung tu, memang saya tak kenal sangat. Kenal Ustaz Yusof?”  aku bertanya balik. Memang mustahil kalau dia tak kenal Ustaz Yusof, imam kat surau kampung aku.

“Eh, mesti la kenal. Rumah saya kat tepi rumah dia la. Rumah saya kat bahagian belakang skit,”  jawab lelaki tu bersungguh-sungguh.

“Ouh, rumah dua tingkat yang baru siap tu ke?” aku tanya walaupun aku rasa mustahil orang yang berpakaian seperti tu mampu memiliki rumah besar kat tepi rumah Ustaz Yusof tu.

“Eh, bukan! Rumah saya yang sebelah satu lagi,”

“Ouh, rumah warna putih tu ke?”  aku tanya lagi. Lelaki tu mengangguk. Aku jadi komfius sekejap. Rumah putih tu sebenarnya milik arwah ustaz dan ustazah yang ajar aku mengaji dulu. Tapi macam terbiar. Lalang-lalang semakin meninggi sebab tak ada orang yang jaga.

“Tapi kenapa tak pernah nampak pun orang kat dalam tu?”  aku tanya lagi.

“Saya dah dua minggu tak balik rumah tu,”  lelaki tu menjawab. Logik jugak. Aku baru seminggu duduk kat rumah.

Kemudian dia mengajak aku untuk keluar dari lobi dan bersembang di luar. Aku hanya mengikut tanpa mengesyaki apa-apa. Sampai kat luar, dia sambung bercerita tentang kisah sedih dia. Termasuklah kisah kaki dia yang patah dua bulan lalu. Aku pun turut bercerita tentang pengalaman kaki aku yang patah ni. Keadaan aku ni lagi teruk rasanya.

“Saya sebenarnya nak mintak tolong sikit ni. Kereta saya rosak”  kata lelaki tersebut dengan suara sedikit lembut.

“Tolong apa? Panggilkan pomen kereta ke?”

 “Bukan. Pomen dah ada. Tapi saya nak pinjam duit sekejap. Petang nanti saya bayar la. Boleh?” tanya lelaki tersebut.

“Ohh, maaf la. Saya ni student lagi,” jawab aku. Dan aku pun mula bercerita tentang kisah sedih aku pulak termasuk kisah baki duit aku yang tinggal berbelas-belas ringgit saja lagi. Lelaki tu nampak gelisah mendengar cerita aku. Kemudian dia mengangguk faham.

 Kemudian aku meminta diri dulu kerana nak meluangkan masa sekejap dengan nenek aku. Terbit jugak rasa kesian dan kesal kerana tak dapat membantu ‘jiran’ aku tersebut. Nak buat camne, aku tak mampu.

 ****

Selepas semua orang dah masuk ke kawasan menunggu, saudara-mara yang lain pun beredar. Masing-masing ada kerja katanya. Aku pun keluar dan menuju ke tempat parking motorsikal. Tiba-tiba aku nampak lelaki yang bernama Saiful tadi sedang berbual dengan seorang lelaki berbaju hitam di samping seorang wanita yang sedang mendukung anak. Aku cuba senyum kat Saiful tapi dia buat macam tak kenal. Aku pelik. Betul la kata Mahathir, melayu mudah lupa.

Aku teruskan berjalan sambil memandang ke belakang sekali-sekala. Aku nampak lelaki berbaju hitam tadi bersembang dengan Saiful sambil mengeluarkan wallet. Tiba-tiba dia mengajak Saiful masuk ke dalam lobi. Nak cucuk duit kat mesin ATM agaknya.

‘Mungkin dia dah jumpa orang yang dapat tolong dia kot,’  bisik aku dalam hati.

 ****

Kat rumah tadi, aku menjeguk-jenguk ke arah rumah arwah ustaz yang kelihatan terbiar tu. Mana la tau kalau-kalau terserempak dengan Saiful tadi. Tapi nampak macam tak ada orang je. Aku pun bertanya kat abah aku yang sedang mengambil angin kat bawah.

“Rumah arwah ustaz tu, dah ada orang duduk ke,”  aku tanya abah.

“Eh, mane ada. Nampak ada orang masuk ke? Ke lampu dalam tu menyala?” tanya abah aku balik.

“Bukan..” Aku pun cerita kisah aku bertemu dengan Saiful tadi kat abah. Habis cerita, abah pun cakap mungkin tu orang nak menipu duit aku kot. Dia pun marah-marah jugak sebab aku ni mudah percaya sangat kat orang.

Tapi betul jugak. Camne aku boleh percaya kat lelaki tu. Nasib baik duit aku dalam bank tinggal ciput je lagi. Kalau tak, mungkin aku dah bagi agaknya. Alhamdulillah, ada hikmah jugak bila duit berkurangan dalam akaun bank tu hehe.

Tiba-tiba aku rasa nak terajang lelaki tadi!

Kepada anda yang berada di luar sana, sila amik pengajaran daripada cerita aku ni. Jangan mudah percaya dengan wajah-wajah kesian si penipu yang mungkin wujud di sekeliling anda. Aku harap orang yang bekerja kat Lapangan Terbang Sultan Mahmud dapat mengambil berat tentang perkara ni. Mungkin ada lagi yang akan ditipu.

Agak-agak korang, berapa ringgit lelaki baju hitam tu dah ‘derma’ kat si Saiful tu? Hermm!