Kat tempat kerja, aku ada seorang kawan. Agak rapat. Dia ni spesis rare sikit. Selalu terlibat dengan kejadian-kejadian mistik tanpa kerelaan diri. Hari tu dia cerita satu perkara yang agak menyeramkan.

Macam ni. Antara rumah aku ke tempat kerja iaitu di Gebeng, aku harus melalui jalan yang dipanggil Jalan Bypass Kuantan. Jalan ini merupakan jalan pintas untuk mengelakkan kesesakan di Balok yang kini menjadi laluan utama ke Gebeng.

Sebelum sampai ke jalan Gebeng, akan ada satu flyover yang akan menghubungkan pengguna jalan untuk ke Tol Jabor. Cerita kawan aku ni, waktu tu hujan renyai-renyai. Seperti biasa selepas habis syif petang iaitu pukul 11 malam, dia akan bergerak pulang ke rumah dengan melalui jalan Bypass ni.

Memandangkan waktu tu hujan, kawan aku ni terpaksa memperlahankan kelajuan motorsikal yang dia bawa. Sampai bawah flyover, dia rasa lain macam. Kepalanya seakan dipaksa untuk menoleh kearah kanan.

Akhirnya dia menoleh. Berderau darah dia bila melihat seorang perempuan berambut panjang berbaju putih sedang berdiri ditepi jalan bersama anaknya. Kawan aku pun memecut motor laju-laju untuk pulang kerumah. Hasilnya, dia demam selama seminggu. Demam terkejut mungkin.

Tambahnya lagi, ada dua tiga orang lagi staff tempat aku kerja yang dah jumpa pontianak tu.

Pehh, berdebar jugak hati sebab tu la jalan yang aku selalu guna untuk pergi kerja ketika siang atau pun malam. Setiap kali lalu jalan tu, aku memang bawak laju-laju.

******

Habis waktu kerja tadi, pukul 11 malam, aku bergerak ke locker room untuk menyimpan PPE. Tiba-tiba sorang lagi kawan lain datang menegur. Dia pun selalu menggunakan jalan yang sama pada waktu malam dengan menggunakan motorsikal.

"Weh, dah dua malam aku jumpa Shikin kat jalan Bypass tu. Risau jugak aku ni" - kata kawan aku ni. Tengok muka dia je aku dah rasa lain macam.

"Shikin? Shikin mana ni?" - aku terbayangkan Shikin tu adalah nama samaran bagi pontianak kat jalan Bypass tu.

"Alaaa, Shikin laa.."

"Yela, Shikin mana?"

"Shikinzir.."

"Babiiiii!! Kahkahkah.."- bodoh member aku ni sorang. Aku dah berdebar dah tadi. Kahkahkah.

Tapi memang betul pun. Babi makin banyak atas jalan sekarang kerana habitat babi sekarang dah dikacau oleh manusia-manusia yang perangai teruk macam babi. Bukit-bukit dah digondol. Naik motor waktu malam pun risau.

Okey, sekian.