Melihat kawan-kawan yang berada di pantai barat sana asyik memanjat Bukit Broga, teringin jugak rasanya melakukan perkara yang sama di tempat tinggal aku sekarang, iaitu di Pahang. Tapi dimana tempatnya? Selepas melakukan sedikit pencarian di internet, aku menemui satu tempat tempat yang menarik, iaitu Bukit Panorama.

Bukit Panorama ni terletak berhampiran Sungai Lembing yang femes dengan sejarah perlombongan bijih timah. Kalau dari Kuantan, jaraknya lebih kurang 60km. Kalau nak tengok matahari terbit, ini lah tempatnya.

Memandangkan lokasinya agak jauh, maka seawal pukul 5 pagi aku sudah bertolak ke sana. Sampai di pekan Sg Lembing, aku agak terkejut. Nak cari parking punya lah payah sebab orang terlampau ramai. Sebelum tu aku sempat singgah di Masjid Jamek Sg Lembing untuk menunaikan solat Subuh.


Selepas parking kereta secara random di sebelah kedai makan, aku dan dua lagi kawan memulakan perjalanan. Mendaki Bukit Panorama ni tak susah sebab telah disediakan tangga batu disepanjang laluan.Tapi yang susahnya kalau tak cukup stamina. Baru 5 minit jalan aku dah terjelir-jelir mencari nafas. Fuhh!

Tak sampai separuh jalan, orang dah berpusu-pusu turun dari puncak bukit. Aku sedikit hairan. Tiba-tiba ada seorang brader Cina datang menegur.

“Lu tak payah panjat la. Hari nak hujan. Nanti tak nampak itu punya sunrise…”

Pergh, luluh perasaan aku waktu tu. Niat hati nak bergambar dengan background matahari terbit seakan sudah musnah. Tapi memandangkan kawan aku yang lain sudah jauh ke depan, aku gagahkan diri untuk naik.

Ketika sudah hampir sampai ke puncak, hujan mula turun. Keadaan jalan agak tidak selamat kerana jalan agak licin. Ada dua tiga orang makcik jatuh bergolek. Kesian aku tengok.

Selepas beberapa ketika, akhirnya aku sampai. Walaupun hujan, walaupun tak dapat tengok matahari terbit, tapi kejayaan sampai ke puncak Bukit Panorama sudah cukup buat aku yang mempunyai stamina yang tak berapa kuat.


Ribuan terima kasih buat pemilik blog Bits & Pieces kerana menyediakan panduan lengkap bagaimana hendak ke Bukit Panorama. Anda boleh bukak blog ini jika ingin mengetahui jalan yang betul untuk ke Bukit Panorama.


Selepas berpenat-lelah mendaki dan menuruni Bukit Panorama, aku menjamu perut di sebuah warung kat pekan Sungai Lembing. Warung ini sangat best! Penuh dengan makanan tradisional orang pantai timur. Peh!