“Jom, kita gerak sekarang..” Harun mengajak aku dan dua lagi kawan untuk keluar waktu rehat. Jam menunjukkan pukul 12.20 tengah hari, kira-kira ada sepuluh minit lagi sebelum tiba waktu rehat. Tapi memandangkan bos tak ada, jadi boleh keluar awal sikit.

Selepas mengharungi panas terik mentari, akhirnya kami sampai ke tempat parking. Di situ kereta MyVi hitam baru dan masih berkilat milik Harun sedang setia menunggu. Aku duduk di sebelah pemandu.

“Duuppp” – bunyi aku tutup pintu kereta. Kuat sikit bunyinya. Harun pandang aku sekejap, lalu dia bercerita dengan wajah ceria.

“Kau pernah tak tengok iklan kereta Volkwagen dalam youtube? Dalam tu dia ada buat demo. Dia bukak pintu kereta dan hempas kuat-kuat. Lepas tu dia ulang lagi berkali-kali dengan sangat laju. Lepas tu dia bukak pintu, dia bergayut kat kereta tu kemudian dia tutup balik. Dia buat banyak kali lah. Tapi pintu kereta tu tak rosak pun…” kata Harun sambil membuat gaya orang bukak dan tutup pintu kereta dengan kuat.

Aku pandang muka Harun dengan wajah penuh memahami maksud yang tersirat. “Herm, okay okay. Sorry. Lepas ni aku tak nak buat lagi..”

“Hahahaha. Nasib baik kau faham. Kalau tak aku tinggal je kau kat mana-mana lepas ni..”

Di bahagian belakang, kawan aku sedang menutup pintu kereta dengan penuh hati-hati. Takut kena tinggal agaknya.