Seperti biasa, matahari memancar dengan terik di sekitar Gebeng dan Balok. Ditambah lagi dengan kombinasi habuk-habuk tanah daripada kuari serta asap kenderaan yang bersesak-sesak, kualiti udara disini sangat padu, sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya kehidupan yang tidak sihat.

Tidak jauh daripada stesen minyak Petronas Balok, aku lepak di kedai Cendol Ansari yang terletak di bawah pokok bersama Zarul. Dengan hidangan Mee Rojak Ayam dan Cendol Pulut yang lazat, aku dengan berselera makan sambil memulakan sesi berkongsi masalah hati dan perasaan bersama Zarul. Nikmat cendol Ansari ini membuatkan aku lupa bahawa hidangan di depan aku ini telah pun dicemari dengan kombinasi asap dan habuk daripada udara persekitaran.

“Eh, cuba kau tengok makcik tu..” kata Zarul sambil meggerakkan kepala kepada satu arah. Aku pandang, aku nampak seorang perempuan dalam usia 40 tahun sedang berjalan seorang diri. Perempuan itu memakai baju biru. Kalau tengok sekali imbas, mesti orang akan fikir tu adalah wanita UMNO yang sedang berkempen pilihanraya untuk Barisan Nasional. Lagi pun warna baju dia macam bendera BN.

Aku tengok sekali lagi. Aku baca tulisan di baju dia dengan cermat. Rasa tak percaya. Aku pandang lagi, kali ni aku baca dengan betul-betul cermat. Tulisan di bajunya macam ni

“SLEEP WITH ME FREE BREAKFAST”

Terkejut jugak bila baca. Takkan makcik bertudung macam tu sanggup pakai baju tulisan macam tu. Atau mungkin dia tak faham apa yang tertulis pada baju yang dia pakai. Timbul jugak rasa kesian dalam hati, tapi aku tak tahu nak buat macam mana. Takkan aku nak tegur makcik tu.

Sekarang aku dah faham betapa pentingnya 'English Education' kepada orang kat Malaysia ni. Walaupun orang cakap Jepun maju walaupun tak mampu berbahasa Ingeris, namun sekurang-kurangnya kita tak akan mudah diperbodohkan.

Aku harap tulisan aku kali ni akan di fotostat dan diedar kepada budak sekolah supaya boleh dijadikan iktibar dan pembakar semangat untuk belajar bahasa Ingeris dengan lebih rajin. Takpe, tak letakkan kredit pun takpe.