Cakar tersembunyi jangan disangka tumpul
Tatapan harimau jangan disangka tenang,
Selama berdiam semangat terkumpul,
Gegar mengaum lapar kan menang!
Aaummmmm!!

Sudah lama rasanya aku tidak bercerita tentang skuad bolasepak Harimau Malaya. Untuk pengetahuan anda semua, selepas ini Malaysia mempunyai dua misi penting iaitu kelayakan Olimpik 2012 dan juga kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia.
Untuk skuad utama negara, mereka dijadualkan akan bertemu Taiwan pada pusingan pertama iaitu pada 29 Jun dan 3 Julai. Jika menang, skuad bimbingan K Rajagopal ini akan bertemu dengan skuad negara jiran iaitu Singapura.  Sebagai persediaan, skuad senior ini akan mengadakan dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Hong Kong pada 3 Jun di tempat lawan dan seterusnya menentang Myanmar di Kota Bharu pada 18 Jun.
Bagi skuad Olimpik negara, mereka dijadualkan bertemu Lubnan pada pusingan kedua iaitu pada 19 dan 23 Jun ini. Sebagai persedian untuk pusingan kelayakan Olimpik 2012 ini, skuad Harimau Muda negara yang berada dibawah bimbingan jurulatih, Ong Kim Swee akan menentang skuad Olimpik Kemboja pada 7 Jun dan skuad Olimpik Qatar pada 13 Jun. Kedua-dua perlawanan akan diadakan di tempat lawan.
Selepas itu, pasukan pilihan Malaysia akan terlibat dalam perlawanan sarkas persahabatan menentang tiga musuh pasukan terbaik di EPL  iaitu Manchester United. Pasukan-pasukan ini adalah Chelsea, Liverpool dan juga Arsenal. Kesemua perlawanan ini akan berlangsung pada bulan Julai dalam masa seminggu. Tentang tarikh, aku masih belum mendapat kepastian.
Buat penyokong-penyokong di luar sana, ayuh berikan sokongan padu untuk skuad negara. Semoga sokongan anda akan menyemarakkan lagi semangat  pasukan Harimau Malaya ini. Bagi penyokong pasukan EPL yang akan datang ke Malaysia nanti, pakailah jersi kebangsaan pada perlawanan tersebut. Tunjukkanlah bahawa anda adalah penyokong bolasepak Malaysia yang sejati. Aaummmmm!!
p/s: Mungkin ada perlawanan persahabatan yang lain selepas ini namun masih belum disahkan. Harap maklum!