Sang penyu menangis lagi hari ini. Selepas rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri lebur di tangan Kedah minggu lalu, kali ini air mata meleleh lagi selepas si Kijang datang mengganas di Stadium Ismail Nasiruddin Shah. Sebentar tadi, skuad Terengganu tewas dengan jaringan yang lebih besar iaitu tiga gol berbalas kosong sekaligus mengecilkan peluang Terengganu untuk merangkul gelaran juara Liga Super buat kali pertama.
Ternyata skuad Penyu begitu terjejas dengan kehilangan “baby faced killer” iaitu Ashaari Shamsudin yang digantung dua perlawanan selepas mengutip lima kad kuning. Ini menyebabkan gandingan Manaf Mamat dan Abdul Hadi di bahagian serangan agak kurang menyengat. Joseph Kalang Tie juga kurang membuat percubaan berbanding sebelum ini.
Bagi aku, peluang kedua-dua pasukan agak seimbang. Tetapi Kelantan lebih berhak untuk menang selepas berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang berbanding Terengganu yang sering dikecewakan oleh ketumpulan barisan serangan dan juga kecekapan penjaga gawang Kelantan. Kelantan juga berjaya mengambil kesempatan terhadap kealpaan benteng Terengganu yang membuat kesilapan mudah. Walau bagaimanapun, tahniah Kelantan. Menang kalah adat bertanding.
Tapi aku agak kecewa sedikit selepas dipersalahkan atas kekalahan sebentar tadi. Aku dikatakan pembawa nasib buruk kepada pasukan Terengganu selepas menonton perlawanan tadi di mamak. Tak guna punya kawan. Takpe-takpe, ada ubi ada batas, ada hari aku libas!

PETEH TERENGGANU PETEH!