Selesai sahaja solat Zohor di masjid negeri, aku keluar turun dari masjid dan pergi ke arah rak kasut. Memandangkan disitu tiada kerusi atau bangku untuk aku duduk, aku bawak kasut tadi pergi berhampiran sebiji mesin air yang menjual air tin yang kebanyakan kandungan gulanya boleh membawa kencing manis. Kat tepi mesin air tu lapang sikit. Boleh la aku memakai kasut tanpa mengganggu laluan orang yang keluar masuk masjid.

Sambil aku membetulkan stokin yang hendak dipakai, datang lima orang budak yang aku kira dalam lingkungan umur 12 tahun. Semuanya berseluar pendek. Mungkin mereka semua ni baru selesai bermain bola sepak. Kebetulan kat padang depan masjid ni macam ada event bola. Tapi aku tak pasti piala apa yang mereka pertandingkan. Tapi yang pastinya bukan Piala Ameno.

Sambil memakai kasut aku dengar perbualan budak-budak tu. Mereka sedang memilih-milih air apa yang hendak dibeli.

'Gedebuk!!' - aku terdengar bunyi air tin jatuh dari mesin. Ternampak salah seorang budak tadi mengambil air dan buka air tin tadi. Kemudian mereka sambung berbual.

"Weh, ko taknak beli ke?"

"Err, takpe lah. Aku nak beli benda lain"

"Alaa, kedekut la ko ni. Beli air pun takkan tak boleh"

Aku pasang telinga mendengar perbualan budak-budak tu tadi. Bila terdengar ayat kedekut tu, teringat zaman kecik-kecik dulu, zaman hidup susah, tak mampu nak berbelanja seperti rakan-rakan yang lain. Orang cakap kita kedekut, tapi sebenarnya bukan. Kadang-kadang takde duit pun nak berbelanja seperti orang lain.

Setel je pakai kasut, aku bangun sambil bukak wallet. Aku amik duit sepuluh ringgit dan hulur kat budak-budak tu.

"Nah amik duit ni. Aku belanja.." - sambil buat muka abang-abang yang mengasihi adik-adiknya.

Budak-budak tu terkejut. Terus mereka ambil duit tu sambil mengucap terima kasih dalam bahasa yang kurang enak ditelinga aku.

"Eh, pakcik ni bagi duit laa. Terima kasih pakcik.."

"Terima kasih pakcikk!!" - yang lain pun turut sama ucapkan terima kasih.

"Ya, sama-sama.." - aku jawab dalam keadaan down sambil berlalu dari situ. Tak sangka pulak rupa aku ni dah masuk dalam kategori pakcik. Tua sangat ke aku ni woi?? Ke buncit sangat? Ke sebab parut jerawat buat aku nampak tua??

"Pakcikk, terima kasih!!" - sekali lagi mereka ucapkan terima kasih. Aku angkat ibu jari kanan dan blah dari situ. Nampaknya esok aku kena mulakan diet, tinggalkan makanan berminyak dan bergula, dan juga kembali bersenam.

Ahhhh malas!!!



Sambung Bacaan