Pada pagi yang sejuk dan tenang ini, aku dikejutkan dengan berita kematian penyanyi bersuara emas, Saleem Iklim. Entah kenapa, tidak seperti kematian artis-artis lain, pemergian Saleem amat dirasai dalam hati. Mungkin sebab pertambahan umur, atau pun mungkin kerana aku membesar dengan lagu-lagu Iklim.

Jika kanak-kanak sekarang dihidangkan dengan lagu Didie & Friends atau pun lagu Baby Shark, waktu kanak-kanak aku dulu, lagu Iklim lah yang menjadi halwa telinga. Mungkin sebab waktu tu radio kat dapur sentiasa terpasang menemani ibu aku yang memasak didapur. Dan sekaligus menjadi peneman aku yang sentiasa menempel dengan ibu.

Walaupun hati kanak-kanak aku pada satu ketika pernah kecewa melihat Saleem digari di berita TV3, tapi minat pada lagu-lagunya tidak pernah luntur. Yep, setiap manusia buat silap. Saleem juga buat silap dalam hidup tapi akhirnya dia berubah dan bangkit semula.

Cinta bukan hanya di mata
Cinta hadir di dalam jiwa
Biarlah salah di mata mereka
Biar perbezaan terlihat antara kita.

Kuharapkan kau kan terima
Walau dipandang hina
Namun hakikat cinta kita
Kita yang rasa 

Suci Dalam Debu, antara lagu yang nasihat dalam liriknya melekat ke jiwa. Kadang-kadang manusia keliru antara pandangan mata dan pandangan hati. Kadang-kadang manusia suka menilai dari luaran, tidak cuba memandang jauh kedalam jiwa untuk menilai keikhlasan dan kesucian. Kadang-kadang manusia lebih risau dan memikirkan pandangan orang lain, yang belum tentu faham apa yang berada dalam jiwa sendiri.

Tiada baris kata yang dapat kulafazkan
Untuk kugambarkan erti pengorbanan mu
Tiada syair indah, termampu kuciptakan
Yang setanding indahnya, belai kasihmu, Juwita 

Jika ditanya apakah lagu yang terbaik dalam menggambarkan pengorbanan seorang isteri, lagu Juwita adalah jawapannya. Lirik lagu yang ditulis ikhlas dari hati, ditujukan Saleem buat isterinya yang bernama Juwita. Yang bersusah senang ketika Saleem dalam kesusahan dahulu.

Walau apa pun, sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan mati. Salam takziah buat keluarga Allayarham Saleem.

Terima kasih Saleem. Telah selesai urusan duniamu. Kembali lah engkau kepada penciptamu. Semoga redha lah Dia kepadamu. Al-Fatihah.