Kepenatan badan sudah hilang. Dinginnya Gunung Kinabalu sudah tidak terasa. Memori di sana kian pudar dari ingatan. Akhirnya hati baru tergerak menulis catatan tentang, Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu.

******* 

Kira-kira bulan Januari 2014, aku mendapat mesej Whatsapp daripada seorang rakan. Wan Pai namanya. Mesej yang membuatkan aku berfikir panjang. Diaajaknya aku dan rakan yang lain untuk mendaki Gunung Kinabalu pada bulan Jun 2014. Tinggal lebih kurang lima bulan lagi.

Pada masa tu, aku menghadapi masalah berat badan. Entah tiba-tiba berat badan naik mencanak. Kalau tak silap dalam 75++ kg. Selepas berfikir panjang, aku menerima cabaran ini kerana aku yakin persediaan yang aku buat untuk naik ke gunung nanti mungkin dapat menurunkan berat badan aku ni.

Selepas itu, secara perlahan-lahan aku mula melatih diri untuk meningkat kan stamina aku yang berada dalam tahap yang agak teruk. Maklum lah, dah lama tak bersukan. Jadi aku mula menjadikan aktiviti memanjat Bukit Pelindung sebagai aktiviti rutin.

Tapi takde lah rutin sangat. Kalau rajin, aku pergi. Kalau malas, aku lepak kat rumah. Kadang-kadang aku pergi gim, tapi hanya berbasikal sajalah. Itu pun baru setengah jam dah pancit.


Pada bulan April, aku mengikut rakan-rakan yang lain untuk mendaki Gunung Nuang. Waktu mendaki gunung ini, aku rasa menyesal sangat-sangat. Rasa nak berhenti dan turun balik. Rasa nak batalkan ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu. Serius, mental aku dah koyak. Jumlah masa perjalanan untuk naik dan turun adalah lebih kurang 16 jam. Sebelum ni, aku berlatih naik Bukit Pelindung tak sampai setengah jam pun dah sampai atas.

Namun kat bawah ada seorang brader bagitahu, kalau berjaya daki Gunung Nuang ni, insyaallah takda masalah nak daki Gunung Kinabalu. Aku rasa konfiden sikit. Walaupun berjalan macam orang baru bersalin.

Selepas seminggu berehat, aku mula kembali berlatih menaiki bukit Pelindung. Dan sesekali aku pergi ke Bukit Panorama di Gambang. Kadang-kadang nak jugak rasa angin di bukit lain kan?

******* 

Pada 3 Jun, aku sudah sampai di Kota Kinabalu bersama Firdaus. Aku sampai awal sikit berbanding rakan yang lain kerana ingin berehat dan juga mencari kelengkapan yang belum cukup. Sempat jugak berjalan-jalan sekitar Pasar Philippines dan merasa makanan laut disana.

4 Jun, aku bertemu dengan seluruh ahli kumpulan ekspedisi ini di Kundasang, Sabah. Secara spesifiknya di Diary Farm. Semuanya berjumlah 14 orang Takde apa yang menarik disini kecuali melihat lembu yang berkulit ‘rare’ dan merasa susu segar disana. Kemudian, kami semua berehat di Puncak Borneo.

Puncak Borneo ni aku tak tahu nak kategorikan sebagai apa. Nak kata Hotel, jauh sekali. Chalet macam bukan. Nak kata asrama, lebih baik daripada asrama. Entah ler.

5 Jun, selepas bersarapan kami semua berkumpul di Kinabalu Park. Di sini kami semua diberi sedikit taklimat tantang pendakian ini. Kami memilih jalan yang jauh iaitu Mesilau Trail. Ada jalan yang dekat iaitu Timpohon Trail tapi dengar cerita, tak berapa cantik laluannya. Laluan Mesilau ni jarak dia lebih kurang 8km manakalah Timpohon cuma 6km.

Pukul 9 pagi, pendakian dimulakan dengan diiringi dua ‘guide’ dan seorang ‘porter’. 1.5km pertama, pendakian aku agak tenang. Tenaga masih banyak. Pada masa ni, pokok-pokok masih banyak dan tak terasa sejuk sangat.



Kemudian, aku perlu melalui jalan menurun bukit sejauh 1.5km. Memang senang perjalanan ini tapi akibatnya, badan aku cepat sejuk dan momentum mendaki mula hilang. Kesannya mula terasa selepas kembali ke laluan mendaki.

Agak sukar untuk aku membina momentum untuk mendaki kerana suhu semakin sejuk dan badan cepat sejuk. Tenaga makin kurang dan aku makin banyak berhenti. Dan akhirnya sikit demi sedikit aku makin ketinggalan di belakang.

Akhirnya aku jadi malas, berjalan 10 langkah pun rasa penat nak mampus. Sambil berjalan, aku cuba mengingati pesan-pesan yang aku terima sebelum ni. Bertenang, dan nikmati pemandangan sepanjang pendakian.

Dan betul, pemandangan sepanjang pendakian sangat lah cantik. Banyak pokok-pokok yang pelik dapat aku lihat. Dan pemandangan di sekeliling, tak pernah aku jumpa sebelum ni. Tak sia-sia aku memilih laluan yang jauh ini.

Selepas 9 jam pendakian untuk perjalanan sejauh 8km, aku sampai ke Laban Rata. Macam biasa, aku yang terakhir sampai disana. Pada waktu ni, semua rakan-rakan dah siap mandi dan makan. Kecuali aku dan dua lagi perempuan didepan aku.

Peh, makanan di Laban Rata ini memang terbaik. Pilihan agak banyak tapi tidak boleh makan terlalu banyak. Takut susah nak bangun tidur keesokan hari nanti.

Selesai makan, aku naik ke dorm dan bersiap-siap untuk solat. Mandi? Memang tak lah. Nak ambik wudhu pun dan menjerit. Macam beku je darah dalam tangan. Sejuk gila.

Kemudian, semua orang tidur sementara menunggu waktu untuk meneruskan pendakian, iaitu kira-kira pada pukul 2.30 pagi nanti. Tinggal 2km lagi sebelum sampai ke puncak. Perasaan waktu tu dah bercampur, naik naik atau give up. Aku penat.

Pukul 12.30 pagi, aku terjaga. Kedengaran bunyi hujan yang tak terlampau lebat. Aku sambung tidur. Pukul 1.30 pagi, semua orang bangun dan bersiap. Kami semua mengisi perut dulu di kafe kat bawah.

 Pukul 2.30 pagi, tiada langsung tanda-tanda pendakian akan bermula. Kemudian aku dapat berita, laluan ke puncak sudah dipenuhi air. Kawasan-kawasan seperi kawah sudah menakungi air dan membentuk air tejun bila penuh. Pada waktu ni, laluan pendakian menjadi sangat bahaya. Semua orang dihalang mendaki.



Namun rakan-rakan yang lain belum berputus asa. Kami menunggu sampai pukul 8 pagi namun tetap tidak dibenarkan naik. Kalau nak naik kena ikut beberapa prosedur yang agak leceh dan mahal. Pukul 8 pagi, kami ambik keputusan untuk turun dari Laban Rata. Agak kecewa kerana perancangan yang diatur gagal. Lagi pun tinggal 2km lagi sebelum sampai ke puncak.

Ya, kami gagal ke puncak.

Namun, kami harus sedar ada lagi perancang yang lebih baik daripada kami.

Perjalanan menuruni Gunung Kinabalu mengikuti Timpohon Trail tidak lah jauh sangat. Aku ambik masa kira-kira 4 jam untuk turun. Dan memang betul, laluan ini tidak lah secantik laluan Mesilau. Jadi nasihat saya untuk anda semua, gunalah laluan Mesilau. Walau pun jauh tapi berbaloi.

Selepas makan, aku dan Firdaus bergegas ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu kerana kapal terbang akan berlepas pada pukul 7.15. Alhamdulillah kami sampai pada masanya dan sempat menikmati burger KFC dan menikmati urutan daripada kerusi Ogawa. Peh, sedap.

***** 

Dalam ekspedisi ini, aku menghadapi dua kegagalan. Yang pertama, aku gagal sampai ke puncak. Yang kedua, berat badan semasa aku menerima cabaran ini adalah lebih kurang 75kg. Manakala ketika mendaki, berat aku adalah lebih kurang 82kg. Kahkahkah

****** 

Selepas perjalanan dari Puncak Borneo ke Kinabalu Park, kemudian ke Laban Rata dan turun kembali, dan menaiki kapal terbang dan sampai di KLIA2 dan kemudiannya ke rumah rakan di Banting Selangor, akhirnya aku dapat mandi. Selepas 40 jam, peh segar giler badan.

****** 



Terima kasih buat Firdaus, Wan Pai, Amin, Migho, Faiz GS, Jakir, Fadhli, Khairul Anuar, Ateh, Gee, Weena, Wani dan Eja. Semoga bertemu lagi dalam cabaran yang baru. Mungkin.