Salam
Kali ni aku bercerita tentang asal-usul nama Seberang Takir iaitu kampung arwah To'ki dan nenek sebelah mak aku. Pada zaman dahulu, Seberang Takir hanya dikenali dengan panggilan ‘Seberang’ sahaja dan tiada penduduk pun yang menetap di situ. Pada waktu itu, negeri Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin. Semasa pemerintahan baginda, negeri Terengganu mengamalkan system perundangan Islam.
Di antara undang-undang kanun ketika itu ada menyebut apabila seseorang rakyat Terengganu atau orang-orang yang bermastautin di Terengganu, jika ditangkap kerana mencuri atau sabit kesalahannya, maka dia akan dikenakan hukuman takir tangan ataupun takir kaki. Perkataan ‘takir’ di sini bermaksud kerat ataupun potong.
Jadi, pada suatu hari, dua orang lelaki telah ditangkap kerana mencuri barang kemas di sebuah rumah penduduk di daerah Kuala Terengganu. Lelaki itu adalah Pak Said dari Manir dan Pak Abdullah dari Kampung Chabang Tiga. Selepas dibicarakan, Pak Said dijatuhi hukuman takir tangan kanan sehingga putus kerana mengambil barang kemas tersebut.
Pak Abdullah sebaliknya telah dijatuhi hukuman takir kaki kanan kerana bertangungjawab dalam merancang dan mengajak Pak Said untuk mencuri.
Selepas itu, kedua-duanya dibawa dari Kuala Terengganu ke tempat penjatuhan hukuman  oleh beberapa budak suruhan raja dan juga seorang ‘petunda’ yang bertanggungjawab untuk melaksanakan hukuman. Mereka dibawa menaiki perahu. Akhirnya perahu itu singgah di Seberang Takir dan Pak Said dan Pak Abdullah dibawa ke satu tempat di hujung tanjung. Akhirnya, hukuman pun dijalankan.
Selepas itu, rakyat di Terengganu mula memanggil tempat itu sebagai Seberang Takir. Aku jumpa cerita ini dalam folio sejarah kawan abang aku. Betul atau tidak, aku kurang pasti. Wallahualam. Yang pasti, aku pernah dengar cerita mistik tentang tangan yang melambai-lambai tanpa badan di Seberang Takir!