Pagi tu, aku bangun awal sikit. Selepas menunaikan solat subuh dan bergolek atas tilam, aku bertongkat dengan perlahan-lahan aku ke dapur. Mak dan abah awal-awal lagi tercegat di dapur, menonton berita sambil menikmati jepuk bawang. Aku yang terliur melihat abah makan jepuk bawang  sambil cicah gulai ikan ayer terus join sekaki.
Entah macam mana hari tu kami boleh berdiskusi tentang cerita-cerita mistik di Terengganu. Antaranya, kisah bunian yang datang membeli sayur di kedai dan jugak kisah puteri bunian yang menumpang bot penambang di Seberang Takir. Tapi ada satu lagi cerita yang best iaitu kisah itik di Bukit Bintang. Bukit Bintang ni, kalau tak silap terletak di Besut, Terengganu.
Menurut mak dan abah, di Bukit Bintang ni merupakan tempat tinggal golongan bunian. Tempatnya agak ‘keras’ sedikit.   Pada zaman dulu, tempat ini dipenuhi itik dan haiwan ini dikatakan dibela oleh golongan ini. Abah aku cakap, mengikut cerita orang-orang tua, apabila seseorang itu membela itik sehingga mencapai 40 ekor, itik itu akan terbang lari ke Bukit Bintang. Tapi perkara ni hanya akan terjadi bila tuan itik itu meninggal dunia.
Mengikut cerita mak aku, moyang aku pernah pergi ke Bukit Bintang. Mengikut ceritanya, kat situ memang banyak telur itik. Dan sesiapa yang pergi ke sana boleh makan telur itik itu dengan syarat hanya boleh makan di kawasan itu. Kalau telur itu dibawa keluar dari kawasan Bukit Bintang, telur-telur itu akan menjadi batu. Boleh pecaya ke?
Aku pun tak pasti nak percaya atau tidak. Tapi cerita ni berlaku berpuluh-puluh tahun yang lalu. Sekarang benda tu macam dah tak wujud dah. Tujuan aku menulis cerita ini bukan untuk mengajak anda semua mempercayai cerita yang mengarut tapi sekadar ingin berkongsi cerita lagenda di Terengganu yang disebarkan dari mulut ke mulut supaya tidak tenggelam dalam arus permodenan kini. Cewahhh!