Memandangkan isteri masih sibuk dengan ujian UPKK secara online kat rumah, hari ni aku keluar sarapan pagi kat kedai seorang diri. Biasa bila keseorangan ni, kaki aku akan melangkah panjang sikit. Kali ni aku nak cuba makan dekat satu kedai makan dekat kawasan Beserah.

Kedai ni dah lama sebenarnya, cuma dah beberapa tahun tahun tak bukak. Kata orang, pemilik kedai tu sakit. Sakit apa aku tak tahu, malas nak ambil tahu.

Selepas parking Myvi King ditepi jalan, macam biasa sebelum masuk kedai kena cek suhu badan dan scan My Sejahtera. Aku meneliti beberapa menu menarik seperti nasi dagang, nasi lemak, nasi berlauk dan beberapa jenis kuih. Tanpa berfikir panjang, aku pun order menu nasi berlauk ayam gulai. Dan sekali dengan teh tarik.

Setel ambil makanan, aku cari tempat yang paling hujung. Segan sebenarnya bila makan sorang-sorang kat tengah kedai ni. Tapi kat dalam kedai takda meja kecik, semua besar dan panjang. Jadi aku pilih untuk duduk dekat meja panjang yang paling hujung yang betul-betul mengadap jalan.

Sambil makan, aku menikmati pemandangan hijau bukit Beserah sambil kereta lalu-lalang dengan agak laju. Biasalah waktu pagi, semua tergesa-gesa nak ke tempat kerja selepas hantar anak pergi sekolah.

Waktu tengah leka menyuap, tiba-tiba datang dua orang perempuan datang menumpang meja yang aku makan. Aku okay saja sebab meja tu pun besar. Dan perempuan tadi pun dalam kategori berumur, tak lah segan sangat. Dah boleh panggil makcik.

"Haiii, good morning," - terdengar satu suara datang menyapa. Kuat pulak tu suara dia dalam kedai. Rupa-rupanya ada dua orang lagi rakan makcik tadi datang sarapan sekali. Kemain ber-good morning bagai. Tapi layan je lah. Aku jauhkan sikit kerusi yang aku duduk. Tak selesa jugak sebenarnya makan dengan orang yang kita tidak kenal waktu Covid ni.

Sambil-sambil tu aku pasang telinga dengar diorang bersembang. Katanya, makanan paling sedap kat sini adalah nasi berlauk. Jadi, betul lah pilihan makanan yang aku buat. Tiba-tiba..

"Weh Zaa, kau bawak anak ikan ke hari ni?"

Aku tersentak sekejap. Anak ikan? Aku ke? Aku berbisik sorang-sorang dalam hati.

Makcik-makcik sebelah ni bantai gelak beramai-ramai.

Aku pun pandang muka-muka makcik tadi dengan serius. Confuse sebenarnya.

"Maaf la. Kami ni memang mengusik. Maklumlah orang tua. Maaf ye.."

Hahaha. Aku pun join gelak sekali.


********

p/s: Ada yang berminat nak mulakan simpanan emas? Jom whatsapp di link ni -> HazwanPublicGold