Assalamualaikum.

Agak lama jari ini tidak menari di atas papan kekunci untuk menulis. Agak kekok rasanya untuk menulis disini memandangkan hari-hari lain kebiasaanya dihabiskan dengan Facebook, Twitter dan Instagram. Bila direnung balik, hampir dua tahun aku tidak menulis di sini. Itu pun jarang-jarang.

Dalam masa hampir dua tahun ni, banyak perkara yang berubah. Dan semestinya status aku sebagai jejaka bujang telah bertukar kepada suami orang. Alhamdulillah, aku sudah pun bergelar suami kepada seorang gadis yang berasal dari Utara. Aku malas nak cerita panjang hal ni haha.

Sekarang kita semua sudah pun berada di tahun 2020. Tahun yang pada waktu kita kecil dahulu, selalu impikan kita akan berada di kemuncak kemajuan. Kereta terbang sini sana, semua orang hidup dengan gaya moden dan bermacam lagi angan-angan yang kita pernah lakarkan pada kertas lukisan waktu tadika dahulu.

Tapi separuh sahaja angan-angan kita menjadi kenyataan. Mesti dua puluh tahun lepas kita tidak terfikir apa yang kita tengah lalui sekarang ni. Yep, aku pun tak sangka sekarang ni Malaysia berada dalam keadaan hampir darurat.

Entah bagaimana virus COVID-19 yang dua tiga bulan lepas kita hanya pandang sebelah mata, hari ini menjadi ancaman dalam kehidupan seharian kita. Kerajaan sudah pun mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan dimana rakyat diminta tinggal di rumah dan mengehadkan pergerakan.

Tak sangka kan? Begini rupanya kehidupan tahun 2020.

Tapi, walaupun perintah kawalan pergerakan sudah dikeluarkan, aku masih dikehendaki untuk datang bekerja kerana kilang beroperasi selama 24 jam. Sebab tu lah sekarang ni aku rasa hidup selalu terancam. Risau jugak takut dijangkiti virus dan juga terbawak balik virus tu kepada isteri kat rumah. Habis lah macam tu.

Ok, cukup sampai sini. Perlu tidur awal kerana esok kerja! Doakan aku selamat dan dijauhkan dari wabak COVID-19 ini.

Nota kaki: Macam skema pun ada penulisan aku sekarang ni kahkahkah