Tadi aku berbual bersama nenek di kedainya di Seberang Takir. Sambil meninjau kawasan belakang kedai, aku ternampak kayu besar seakan kayu besbol tapi lebih besar dan berat.

Kukuh buatannya, menggunakan kayu cengal. Kata nenek, benda ini merupakan alat pemecah ais yang dibuat oleh arwah moyang aku dulu. Namanya "gandeng" air batu.

Kemudian nenek pun bercerita tentang kepayahan beliau dan arwah To'ki mengembangkan perniagaan.

Pada waktu tu, peti ais merupakan benda rare tapi permintaan terhadap ais agak tinggi memandangkan Seberang Takir merupakan kawasan nelayan dan ais diperlukan untuk diletakkan dalam kotak ikan.

Jadi, nenek dan arwah to'ki buat keputusan untuk membeli peti ais. Memandangkan harga peti ais sangat mahal iaitu dalam RM1500, mereka terpaksa membuat pinjaman MARA.

Nak buat pinjaman sangat rumit kerana memerlukan geran tanah sebagai cagaran. Akhirnya datuk saudara aku menolong dengan memberi pinjam geran tanahnya. Selepas pegawai MARA datang membuat lawatan ke kedai, pinjaman diluluskan sebanyak RM2000.

Dengan duit sebanyak tu, nenek aku membeli peti ais, barang keperluan kedai dan jugak basikal Raleigh. Basikal ini bertujuan untuk digunakan ketika menjual aiskrim santan. Pernah makan? Aku tak pernah. Mungkin macam cendol kot.

Agak payah pada awalnya kerana terikat dengan hutang MARA sebanyak RM200 sebulan. RM200 tu dikira banyak waktu tu. Air kopi harga baru 10 sen. Aiskrim 5 sen. Air limau sejuk yang diletakkan dalam peti ais pun 10 sen je sebotol.

Alhamdulillah, dengan disiplin menyimpan RM10 sehari, mereka berjaya menyetelkan hutang MARA dalam masa dua tahun, membesarkan sembilan orang anak dan juga pergi haji sebanyak dua kali.

Kedai nenek aku tu dibuka pada tahun 1954 dan masih beroperasi sehingga kini dibawah jagaan makcik aku.

Ahhh, panjang pulak aku menaip.
Sambung Bacaan