Selesai saja mengisi minyak di Shell Semambu, aku menuju ke Balok melalui jalan Berserah. Keadaan di Shell Semambu masih lengang kerana bekalan elektrik baru saja pulih. stesen minyak Petronas Semambu juga sudah mula dibuka.

Melintasi pasaraya Tunas Manja Berserah, aku dapat lihat manusia berpusu-pusu membeli barang keperluan disana. Mungkin sebagai persediaan awal untuk menghadapi banjir gelombang kedua. Stesen minyak di kawasan Berserah masih belum dibuka kerana bekalan elektrik belum pulih.

Sepanjang perjalanan, semua kawasan bergelap. Jalan-jalan masih basah namun air sudah tidak bertakung diatas jalan. Sedih tengok keadaan sekeliling. Seram pun ada.

Kawasan pertama aku tuju adalah Markas PAS cawangan Balok. Di sana para sukarelawan sedang bertungkus-lumus memasak nasi dan lauk-pauk untuk dihantar ke kawasan yang terjejas akibat banjir. Antaranya di Kempadang dan Chendor. Di sini mereka menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.


Kemudian, aku dan hosmet yang lain menuju ke Balai Raya Balok yang dijadikan pusat penempatan sementara bagi penduduk Balok. Menurut pegawai di situ, jumlah mangsa yang berlindung disitu seramai 1400 orang. Sempat jugak aku mendengar keluhan para sukarelawan iaitu Rela yang mengadu tentang penduduk yang berdegil tidak mahu berpindah dan juga dimarahi mangsa kerana lambat.

Kesian jugak. Mereka menolong dengan sukarela. Bukannya dibayar dengan gaji mahal.

Aku juga sempat mendengar keluhan penduduk yang kecewa dengan pengerusi JKKK yang tidak berbuat apa-apa untuk menolong mangsa. Aku tersenyum sinis, sambil membayangkan perhimpunan membela orang Melayu yang berlangsung di PWTC.

Melawat kawasan ni, timbul sedikit rasa insaf. Ketika aku dirumah sewa masih mampu bersenang-lenang menonton TV, baring-baring atas katil sambil main internet, masih terlalu ramai diluar sana yang dihimpit kesusahan. Bak kata seorang hosmet,

" Kita keluar rumah rilek je tak tutup lampu, kipas, laptop. Tak hargai bekalan elektrik yang ada. Mereka disini kesusahan tanpa bekalan  elektrik.."

Aku insaf.

Tadi hosmet aku sempat menyampaikan sedikit sumbangan berbentuk pakaian kepada mangsa. Agak terharu bila petugas disana mengajak untuk bergambar bersama tapi terpaksa menolak kerana malu. Hehe.

Bekalan elektrik mula pulih. Aku harap cuaca akan semakin pulis walaupun tadi hujan turun sekejap. Buat mangsa banjir, semoga tabah menerima ujian daripada-Nya.

p/s: Dapat berita tentang kematian akibat banjir di Kuantan tapi belum ada pengesahan rasmi.