Tahun 2007

Seorang remaja yang berusia hampir 18 tahun menapak ke dalam Chancellor Hall seperti orang asli masuk bandar. Dengan memakai kemeja putih bertali leher biru, serta keadaan fizikal yang nampak kurus tapi buncit didalam, remaja itu kelihatan sangat takut dan nerves.

Bila masuk, dia melihat ramai brader dan makwe bercakap dalam bahasa omputih yang langsung tak difahaminya. Yang dia tahu, hanya yes dan no. Sesekali dia mengangguk.

Pada masa itu, remaja itu masih ragu-ragu dengan kemampuan beliau untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersohor itu. Disebabkan itu, pemergian beliau ke universiti itu dirahsiakan daripada pengetahuan orang. Dia takut, result SPM yang bakal keluar tak lama lagi tidak akan menyebelahinya.

2012


Hampir 6 tahun sudah berlalu. Remaja tadi sudak tidak remaja. Dia kini kelihatan lebih dewasa dengan imej yang semakin buncit, rambut yang menipis di depan, janggut yang serabai serta spek yang makin tebal. Dia semakin yakin bila berhadapan dengan orang termasuk lah didepan makwe atau bakal mertua. Cakap Inggeris pun dah mula keluar suara walaupun agak berterabur.

Sekarang, lelaki itu sedang menapak ke dalam Chansellor Hall dengan memakai jubah ala Harry Potter namun tanpa tongkat sakti. Beliau sedang beratur bersama kawan-kawan yang lain dengan perasaan gembira, bahagia bercampur nerves. Akhirnya giliran beliau tiba. Nama beliau disebut dengan jelas.

"Hazwan Arif Yusof!!!! "

Beliau berjalan pantas ke depan, ke arah seorang lelaki tua yang beliau minat sejak kecil. Lelaki tua yang yang menginspirasikan beliau untuk menjawab beliau ingin menjadi perdana menteri ketika disoal cikgu tadika. Jarak semakin hampir, beliau senyum, lelaki tua itu membalas senyuman beliau.

Tahniah..” kata lelaki tua itu sambil menghulur tangan.

Terima kasih Tun,” jawab lelaki itu sambil menyambut tangan lelaki tua itu.

Scroll bertukar tangan, lelaki itu turun dari pentas dengan wajah ceria tak patut.

Hampir 6 tahun aku tunggu, untuk merasai 5 saat yang aku lalui sebentar tadi,” bisik lelaki itu dalam hati.

Tamat.

***

Terima kasih ya Allah kerana meminjamkan aku nyawa dan mengizinkan aku merasai nikmat kegembiraan ini. Terima kasih kepada abah, emak dan adik-beradik serta sanak-saudara kerana sentiasa memenuhkan setiap inci hidup ini dengan sokongan yang tidak berbelah-bahagi. Penghargaan juga buat rakan-rakan yang sentiasa menjadi pengisi masa duka dan gembira selama ini. Doa daripada anda semua amat aku perlukan untuk mengisi kehidupan di hari mendatang. Terima kasih. Kepada kawan-kawan yang turut konvo bersama, tahniah. Ayuh kita maju bersama, ke arah dunia yang lebih gemilang. Insyaallah =)