Kekalahan kepada pasukan ATM semalam menandakan berakhirnya cabaran pasukan Terengganu FA dalam Piala Malaysia 2012 dan sekaligus dalam kancah bolasepak Malaysia 2012.

Sebelum bermulanya musim 2012, pasukan Terengganu dikatakan antara pasukan yang mampu memecah dominasi pasukan yang semakin mantap, Kelantan dalam bolasepak Malaysia. Ditambah lagi dengan kepulangan tiga tonggak Harimau Muda serta senarai pemain yang sedia ada yang ramai diantaranya pernah bermain dengan pasukan kebangsaan, Terengganu dilihat semakin mantap disetiap posisi.

Namun sejak sebelum bermulanya musim 2012, pasukan Terengganu tidak pernah lekang dengan kontroversi. Semuanya bermula bila Irfan Bakti tidak menyambung kontrak dan membawa diri ke Selangor. Dan kehadiran Mat Zan Mat Aris yang tiba di Kuala Terengganu tidak sampai seminggu menimbulkan persoalan adakah Irfan Bakti telah disingkirkan oleh PBSNT secara halus?

Kontroversi berterusan dengan masalah pemain import dimana PBSNT kelihatan sangat lembab dalam menguruskan proses pencarian pemain. Hasil campur tangan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahamd Said akhirnya dapat menyelesaikan masalah ini setelah beliau dengan lantang mengkritik FAM berkenaan isu pemain import ini. Kemasukan Frokey Doe nampak berbaloi, tapi Biano kelihatan seperti satu pembaziran.

Kemudian PBSNT sekali lagi dimarahi menteri besar kerana lambat menyelesaikan masalah lampu limpah dan menyebabkan pasukan Terengganu terpaksa bermain di pada waktu petang di awal musim pada saingan AFC.

Pemilihan jurulatih Mat Zan Mat Aris juga tidak disenangi oleh kebanyakan penyokong Terengganu kerana corak permainannya terlalu slow dan kurang taktikal kalau dibandingkan dengan corak permainan yang telah diterapkan oleh Irfan Bakti. Ini termasuklah tindakan beliau yang mengetepikan Ismail Faruqi di awal musim.

Prestasi yo-yo pasukan Terengganu di awal musim akhirnya mencetuskan kemarahan peminat dan akhirnya kemarahan mereka tidak dapat lagi dibendung. Sekumpulan peminat tegar telah menyerang rumah pengurus pasukan Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh untuk memaksa beliau melepaskan jawatan yang telah disandangnya sejak 10 tahun yang lalu. Namun tidak berhasil.

Akhirnya setelah kekalahan kepada pasukan berstatus kelab, Sime Darby di separuh akhir Piala FA, Mat Zan Mat Aris akhirnya dikambing-hitamkan oleh PBSNT dengan merehatkan beliau dan membawa masuk Peter James Butler iaitu bekas jurulatih Kelantan. Mat Zan Mat Aris kemudiannya dibiarkan terkapai-kapai dan nasib beliau masih belum dapat diketahui.

Setelah penukaran jurulatih, Terengganu FA jatuh ke tangga ke lima Liga Super berbanding di tangga ke dua semasa dibawah kendalian Mat Zan Mat Aris. Satu kemenangan moral bagi Mat Zan, mungkin.

Selepas gagal dalam saigan AFC dan juga Liga Super, Terengganu FA membawa harapan besar rakyat Terengganu untuk sekali lagi layak ke final Piala Malaysia seperti tahun 2011. Selepas memulakan kempen dengan bergaya selepas menewaskan Kelantan dengan jaringan dua gol, pasukan Terengganu mula dipenuhi dengan konflik dan kontroversi. Dimulakan dengan insiden Sharbinee Allawe yang mengalami kegatalan misteri semasa perlawanan menentang ATM diikuti dua kekalan berturut-turut kepada ATM dan Kedah. 

Konflik yang melanda pasukan Terengganu semakin panas bila Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad disingkirkan daripada pasukan Piala Malaysia oleh Peter Butler ats dakwaan pulang lambat ke hotel dan membawa balik perempuan walaupun kedua-dua pemain menafikan dakwaan ini dengan sekeras-kerasnya. Dan keadaan semakin panas selepas Peter Butler bergaduh dengan Sharbinee Allawe selepas insiden melepaskan gol dengan mudah semasa menentang Kedah.

Diberitakan Sharbinee dan PBSNT sedang disiasat berhubung dakwaan menjual permainan.

Dengan kehilangan tiga pemain ini termasuk beberapa lagi yang cedera, Terengganu FA kelihatan tempang dalam perlawanan semalam. Walaupun jelas menguasai permainan, akhirnya Terengganu tewas dengan jaringa dua gol tanpa balas yang menutup terus ruang ke suku akhir. Dan ini merupakan kali pertama Terengganu gagal melepas peringkat kumpulan sejak tahun 2004.

Bagi aku, kegagalan Terengganu pada musim ini amat perit untuk diterima kerana harapan yang tinggi telah diberikan pada awal musim. Namun setelah melihat segala konflik yang melanda, aku rasa lebih baik kalah. Biar ia menjadi satu pengajaran buat pengurusan yang semakin lembab.

Apa yang aku harap, untuk tahun 2013, pengurusan PBSNT akan bertukar tangan. Terengganu perlukan orang yang lebih muda, ada pengetahuan tentang bola dan kreatif dalam memodenkan bolasepak Terengganu seperti yang dialami oleh pasukan Kelantan dan Johor FA sekarang ni.

Untuk perlawanan terakhir menentang Kelantan di SSMIV, aku harap Terengganu dapat mencatatkan kemenangan. Sekurang-kurangnya dapat mengubat hati peminat yang kelihatan semakin hilang keyakinan terhadap pengurusan dan pemain.

Akhir kata dari penulis yang ada peperiksaan akhir semester esok hari, Presiden PBSNT Sila Letak Jawatan!!!