Kira-kira empat tahun yang lepas, aku duduk tercongok di kafe V4 bersama beberapa kerat rakyat Malaysia yang lain untuk menonton perlawanan akhir badminton sukan Olimpik. Dan keputusannya sangat mengecewakan bila Lee Chong Wei dengan mudah ditewaskan oleh Lin Dan. Aku ni bukan jenis manusia yang tidak dapat menerima kekalahan, tapi kalau boleh biarlah kalah dengan melawan. Bukan kalah dengan mudah.

Dan bila Lee Chong Wei menyuarakan keinginan untuk menebus kekecewaan di sukan Olimpik 2012, aku tersenyum sinis. Aku fikir, mungkin tahun 2012 Lee Chong Wei bukan lagi pemain nombor satu Malaysia. Mungkin Malaysia sudah ada jaguh lain yang boleh diharapkan. Dan Lee Chong Wei hanya pemain veteran yang menunggu masa untuk bersara.

Namun tekaan aku silap. Lee Chong Wei kembali lagi ke pentas Olimpik 2012 dengan semangat yang luar biasa dan juga bersama gelaran yang baru, iaitu Datuk Lee Chong Wei. Walaupun baru pulih daripada kecederaan, persembahan Datuk LCW sungguh meyakinkan. Dan seluruh rakyat Malaysia bergantung harap kepadanya untuk meraih pingat emas pertama Malaysia di sukan Olimpik dan seterusnya menikmati ais krim Baskin Robin.

Tapi akhirnya aku sekali lagi kecewa. Tapi kekecewaan ini tidak seperti kekecewaan dulu. Permainan Datuk LCW tadi sangat mengagumkan, berjuang hingga ke mata terakhir namun tewas akhirnya dengan perbezaan mata yang tipis. Bagi aku, dia tetap juara di hati penyokong Malaysia. Final yang berlangsung tadi antara final badminton yang terbaik pernah aku saksikan.

Kalau aku ada kat stadium tadi, aku nak jumpa LCW dan cakap,

Sabar Datuk. Kau adalah legenda baru rakyat Malaysia! Terima kasih kerana memberikan pingat pertama untuk Malaysia di sukan Olimpik 2012”.

*tabik hormat*

Tapi aku sedikit risau. Aku tak nampak lagi mana-mana pemain yang mampu menggantikan Datuk LCW dalam sukan badminton. Aku harap Malaysia tak jadi seperti Indonesia yang dulu gah dengan sukan badminton. Namun selepas era Taufiq Hidayat, terus hilang dalam peta badminton dunia. Walaupun kadang-kadang muncuk beberapa nama lain namun permainan diorang masih tidak konsisten.

Ya, kita memang ada juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli serta Misbun Ramdan, anak lagenda Misbun Sidek, namun pencapaian mereka juga masih ditahap biasa-biasa.

Kadang-kadang aku rindu zaman sekolah dulu, ketika Wong Choon Hann menjadi pemain nombor satu Malaysia. Waktu tu dalam rangking 20 terbaik dunia ada beberapa pemain Malaysia dalam senarai. Sekarang tinggal Datuk Lee Chong Wei sorang. Tu pun dah nak bersara.

Sesungguhnya mencari pengganti Lee Chong Wei adalah lebih sukar berbanding mendapatkan emas di Sukan Olimpik. Jadi siapa yang harus kita persalahkan? Presiden BAM, SILA LETAK JAWATAN!