Awang bangun pada waktu pagi itu dengan perasaan luar biasa. Tidak pernah rasanya dia berperasaan macam tu. Bunyi kicau burung pada waktu pagi menyerikan lagi harinya di saat hatinya masih sepi tiada berpenghuni.

Tiba-tiba perut Awang berbunyi seperti cengkerik, tandanya ia meminta untuk diisi. Awang memandang ke atas meja studynya. Masih ada baki roti yang dibelinya beberapa hari lepas. Entah bila tamat tempohnya pun Awang tak tahu. Awang ni memang jenis tak kisah sangat pasal tarikh luput roti. Yang penting selagi belum berkulat dia akan makan. Jangan membazir katanya.

Awang memanaskan air dalam boiler. Kemudian dia menghala kearah peti sejuk di dapur untuk mengambil susu pekat manis cap Marigold. Susu cap Marigold merupakan susu paling murah yang dijual di Kedai Rahmath. Awang menuangkan susu yang agak pekat dan sejuk itu dengan susah payah kerana lubang yang ditebuk amatlah kecik. Sesekali Awang mengoncang-goncang tin susunya untuk memaksa susunya keluar.

Awang ni cermat. Selepas susu sudah cukup dituang ke dalam gelas, dia simpan balik ke tempat asalnya. Apabila air sudah masak, dia menuangkan air panas menggelegak itu tadi ke dalam gelas yang sudah bercampur dengan susu. Gelas itu tadi dibawa masuk ke dalam bilik.

Sambil berdiri, Awang mencapai botol Nescafe Gold yang terletak di atas rak makanan berhampiran katil. Diambil satu sudu penuh serbuk nescafe lalu dikacaunya dengan arah lawan jam. Bagi Awang, susu Marigold dan Nescafe Gold merupakan satu kombinasi yang baik kerana kedua-duanya ada perkataan gold.

Bila dah siap, Awang merapatkan gelasnya kearah hidung dan menghidu aroma air nescafe dengan meniru gaya dalam iklan Nescafe yang pernah ditontonnya sebelum ini. Awang tersenyum sambil memejamkan mata.

Entah macam mana, tiba-tiba seketul tahik hidung Awang jatuh ke dalam air nescafe tadi. Agak-agak apa perasaan Awang pada waktu tu?

p/s: Bukan cerita benar, cuma terpikir haha