Lewat malam semalam, aku terdengar housemate aku sedang menggoreng sesuatu. Aku yang kebetulan ingin ke tandas sempat menjenguk dan bertanya, ”Masak apa tu bro….?” Fendi, jejaka yang pecahkan mug aku semalam, menjawab dengan sopan, “ Masak nasi goreng untuk sahur malam ni. Jom la makan sekali, banyak lagi ni.”

Aku menolak ajakan tersebut dengan alasan takut susah nak bangun subuh. Lagi pun jam sudah menunjukkan jam pukul 1 pagi. Tak manis rasanya kalau makan sebelum tidur. Mudah jadi buncit dan dapat penyakit. “Tapi kalau tak habis, simpan je la kat situ. Esok aku boleh makan untuk sahur…” balas aku tiba-tiba selepas mendapat ilham untuk puasa sunat keesokan harinya.

Aku baringkan diri diatas katil, kunci jam pukul 5.30 pagi dan terus tidur. Tak baca doa tidur pun rasanya.

Pukul 5.30 pagi aku bangun. Suasana masih sunyi, housemate mungkin tak bangun lagi. Aku memandang syiling dengan mata masih kuyu. Hati aku tiba-tiba jadi berat, nak bangun atau tak untuk bersahur. Nasib goreng semalam pun aku tak tahu masih ada baki atau tak. Takkan aku nak sahur makan megi. Dengan malas, aku bangun berjalan ke dapur. Aku menjenguk ke dalam kuali. Oh, nasi goreng semalam sudah habis. Aku mundar-mandir dalam rumah. Tak tahu nak sahur makan apa.

Tiba-tiba aku terjaga dari tidur sekali lagi. Damn, aku mimpi je tadi. Aku tengok jam kat henfon. Jam sudah pun menunjukkan pukul 6.05 pagi. Setelah memikirkan masa yang diperlukan untuk memanaskan nasi dan memasak air untuk membuat air milo, aku membatalkan rancangan untuk berpuasa sunat haha. Tak sempat rasanya nak siapkan semua tu sebelum azan subuh. Dan aku pun tertidur.

Semasa nak ke tandas untuk mengambil wudhu pagi tadi, aku tengok nasi goreng masih ada atas dapur. Aku mula berkira-kira nak makan nasi goreng bersama telur mata sambil menghirup milo panas pada pagi ni. Selepas menyiapkan separuh daripada entry ni, aku menjenguk ke dapur sekali lagi. Arghh, nasi sudah habis >__<

Agak-agak korang, aku bangun ke tak pukul 5.30 pagi tu?