Menurut kisah yang aku dengar dari mulut ke mulut, keturunan aku telah memberi sumbangan yang sangat besar terhadap perkembangan bahasa di Tanah Melayu. Kisah yang ingin aku ceritakan ini telah berlaku beratus tahun yang lalu pada awal zaman penjajahan British di Terengganu atau secara spesifiknya di Pulau Duyong.
Nenek moyang aku sangat terkenal dengan kehebatan membuat dan membaiki kapal suatu ketika dulu. Pada satu hari, satu kapal yang amat besar telah berlabuh di Pulau Duyong kerana mengalami sedikit masalah di bawah kapal. Seluruh penduduk kampung berkumpul di tepi pantai untuk menyaksikan kejadian ini kerana pelik melihat rupa paras manusia di dalam kapal yang kebanyakannya berkulit putih dan berkasut tinggi.
Tiba-tiba salah seorang anak kapal turun dari kapal dan berjalan ke arah penduduk yang sedang berkumpul. Rupa-rupanya lelaki itu pandai bercakap dalam bahasa Melayu. Menurutnya, kapal itu mengalami kebocoran dan memerlukan seorang pakar untuk membaiki kebocoran tersebut. Penduduk kampung pun mencadangkan agar Awang (moyang aku la ni) untuk pergi membantu orang putih tersebut.
Maka, pergilah Awang ke arah kapal tersebut dengan perasaan riak bercampur bangga. Sampai di sana, Awang terkejut beruk. Kerosakan itu sangat lah besar dan rekaan kapal itu sangat berbeza daripada kapal-kapal yang pernah dibaikinya. Orang putih itu memberi masa selama seminggu untuk Awang menyiapkan kapal tersebut.
Maka Awang pun berbaring lah di tepi kapal tersebut sambil mencari idea-idea yang bernas untuk diguna pakai dalam membaiki kapal tersebut. Namun perbuatan Awang tidak disenangi oleh ketua Mat Salleh tersebut lalu beliau menjerit ke arah Awang supaya segera membuat kerjanya. Malangnya Awang tidak faham bahasa Inggeris dan dia pun buat bodoh je lah (sebab tu pentingnya English Education).
Mat Salleh itu semakin marah lalu mencampak seuncang wang perak dengan harapan Awang segera menyiapkan kerjanya. Dan kali ini dia menjerit,” Do it! Do It!”. Selepas itu, Mat Salleh itu terus masuk ke dalam kapal. Awang mengambil uncang dan terus berfikir. Tiba-tiba, dia mendapat satu idea yang bernas lalu segera membaiki kapal tersebut. Akhirnya, selepas hampir dua minggu, Awang berjaya menyiapkan kerja tersebut dan medapat seuncang lagi wang perak.
Dalam perjalanan pulang, orang kampung bertanya kepada Awang, ganjaran apakah yang dia dapat. Awang pun menunjukkan wang perak tadi sambil menjawab,” Mat Salleh tu cakap, benda ni dipanggil duit”. Semua penduduk kampung terpegun melihat wang perak yang dipanggil duit itu. Kemudiannya, perkataan duit mula digunakan di Pulau Duyong dan menggantikan perkataan pitis ataupun wang dan akhirnya tersebar ke seluruh Terengganu dan Tanah Melayu. Sekian.

p/s: Jangan percaya sangat~