KUALA LUMPUR: Dua pekerja siber kafe melecur hampir seluruh badan apabila sebuah kotak yang mengandungi bom buatan sendiri meletup depan sebuah unit rumah di tingkat bawah Apartmen Desa Tun Razak, Cheras di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, kedua-duanya, seorang pekerja wanita, diminta oleh majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri yang dijumpai di hadapan rumah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata sebelum itu, isteri kepada majikan tersebut menemui sebuah kotak yang di atasnya diletakkan dua limau barli, ketika membuka pintu rumah.
"Wanita itu kemudiannya bertanya kepada suaminya tentang kotak tersebut namun suaminya berkata tidak tahu apa-apa mengenainya...

"Jiran-jiran mereka juga tidak tahu menahu mengenai kotak itu...wanita itu kemudiannya bertindak membuka sedikit kotak tersebut dan mendapati ada bau minyak tanah sebelum memanggil dua pekerjanya untuk mengangkat kotak berkenaan," kata Abdul Rahim ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, dua pekerja itu kemudiannya membuka kotak tersebut sebelum ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

Katanya, kedua-dua mangsa adalah warga tempatan dan berusia 38 tahun (lelaki) serta 51 tahun (wanita) itu melecur teruk sebanyak 70 peratus dan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut, polis menemui beberapa biji mercun bola dan minyak tanah...wanita tersebut bersama suami dan tiga anaknya tidak cedera kerana ketika itu mereka dipercayai berada di dalam rumah.

"Menurut penghuni rumah terbabit, mereka tidak bermusuh dengan sesiapa... kita sedang menyiasat motif sebenar kejadian sama ada ia berpunca dari dendam, khianat atau sebaliknya," katanya.
Katanya, akibat letupan kuat itu, cermin tingkap di lima rumah dalam deret yang sama turut pecah.